Penyokong Melaka United sepakat memboikot perlawanan pasukan itu selepas ini susulan prestasi hambar pemain selain kekalahan memalukan 7-0 ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam.
Penyokong MU, Muhammad Shazli Mohd Saat, 26, berkata, akibat kecewa dengan persembahan MU, sorakan ‘Gegau Melaka Gegau’ bertukar ‘Gaji nak besau, main macam hawau’ selepas JDT menjaringkan gol ke lima kurang seminit aksi babak kedua bersambung.
“Kami ke Larkin, menggunakan 11 buah bas, malah ada yang memandu sendiri, namun pulang dengan perasaan amat kecewa dengan persembahan hambar pemain.
Mohd Ashraf Ahmad Fuad, 24, pula berpendapat MU lebih menyerlah ketika di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris, yang berjaya membawa pasukan itu menjuarai Liga Perdana berbanding jurulatih sekarang.
“Kami hanya terkedu setiap kali JDT menjaringkan gol sehinggakan kami rasa nak balik sahaja ketika itu juga. Sudahlah berhabis duit untuk mereka, ini yang kami dapat,” katanya.
Sementara itu mengulas kekalahan memalukan itu pengurus pasukan MU Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, rombakan akan dilakukan untuk memperkuatkan semula MU menjelang pusingan kedua Liga Super.
Beliau berkata, selain import beberapa pemain tempatan juga akan digugurkan berikutan mereka gagal menepati corak permainan yang dimahukan.
Sumber: Harian Metro
Sumber “Gaji nak besau, main macam hawau” – Penyokong MU boikot