PhD palsu jenayah besar!

MENJELANG 2023, negara menyasarkan untuk memiliki 60,000 orang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Sasaran ini adalah signifikan kerana untuk menjadi sebuah negara maju, Malaysia perlu memiliki kumpulan bakat berpengetahuan tinggi bagi menjayakan ekonomi berinovasi.

Tahun lalu sahaja, Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya telah menyumbang kepada penghasilan bakat ini apabila berjaya mengeluarkan 500 graduan PhD dalam pelbagai bidang. Kerajaan amat serius untuk mencapai sasaran 60,000 pemegang PhD pada 2023.

Justeru pada 2011, program MyBrain 15 diperkenalkan, iaitu biasiswa kepada rakyat Malaysia untuk menyambung pengajian di peringkat pascasiswazah. Ini termasuk Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Sarjana Dalam Negara (MyMaster), Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Kedoktoran Dalam Negara (MyPhD) dan Program PhD Industri.

Meskipun dalam situasi ketidaktentuan ekonomi global yang menyaksikan pengurangan bajet kepada sektor pendidikan tinggi negara, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih meneruskan program MyBrain 15. KPT menyedari negara sememangnya memerlukan critical mass dan graduan berpengetahuan tinggi yang akan menjadi pemacu kepada inovasi dan produktiviti sehingga dapat melonjakkan ekonomi negara kepada tahap lebih tinggi.

Proses penyelidikan teliti

Dalam sistem pendidikan formal, PhD adalah kelulusan akademik tertinggi. Mereka yang berkelulusan PhD sebenarnya melalui proses penyelidikan yang teliti, mendalam dan mencabar. Hasil penyelidikan selama tiga atau empat tahun ini ditulis menjadi tesis yang berupaya meneroka ufuk ilmu dan penciptaan ilmu baharu.

Hasil penyelidikan ini juga berpotensi untuk diterbitkan sebagai artikel dalam jurnal dan buku ilmiah yang menjadi rujukan penting dalam komuniti akademik dan masyarakat awam, dalam dan luar negara. Untuk memperoleh PhD, ia bukan satu proses yang mudah dan sekelip mata.

Seseorang itu perlu mempunyai disiplin tinggi, usaha yang konsisten, pemikiran dan analisis kritis, pengetahuan pada peringkat tinggi dan paling penting memiliki sikap jujur pada ilmu serta berpegang teguh kepada integriti. Oleh kerana itu, pemegang PhD dipandang tinggi dan dihormati masyarakat kerana penguasaan ilmu dan darjah integritinya.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kita sangat menyesali wujud tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memperoleh ‘PhD’ secara palsu dan tidak sah. Ini termasuk membeli ‘PhD’ daripada universiti yang tidak diiktiraf selain memperoleh ‘PhD’ dengan cara yang sangat mencurigakan.

Jenayah besar

Tindakan memalsukan PhD adalah suatu jenayah besar yang perlu dibendung kerana ia membawa banyak implikasi kepada falsafah ilmu dan nilai dalam sesebuah masyarakat dan negara. Dalam tulisan ini, saya kongsikan tujuh faktor kenapa PhD palsu perlu dibendung dan dikekang.

Pertama, mendapatkan PhD secara palsu bercanggah dengan konsep ketinggian dan kebenaran ilmu. Ilmu itu sinonim dengan kebenaran dan pencerahan. Justeru, mana mungkin ilmu yang bersandarkan kepada kebenaran diperoleh dengan cara penipuan.

Kedua, PhD palsu membelakangi sifat jujur kepada ilmu. Ilmu perlu diperoleh dengan jujur dan penuh integriti. Dalam kata lain, matlamat sama sekali tidak boleh menghalalkan cara. Ketiga, PhD palsu merosakkan sistem nilai yang baik dalam masyarakat kita.

Rata-rata mereka yang memiliki PhD palsu bertujuan mendapatkan kedudukan dan kepercayaan yang tinggi dalam masyarakat selain melariskan produk dan perniagaan.

Keempat, PhD palsu telah memberi kelebihan kepada mereka yang tidak jujur dan amanah. Justeru, mereka ini tidak mustahil akan meneruskan sikap tidak amanah itu dengan tidak berintegriti, melakukan penipuan, pecah amanah dan melakukan rasuah demi mencapai matlamat dan keuntungan peribadi.

Hal ini sangat tidak baik kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

Kelima, PhD palsu menjatuhkan nilai ekonomi kepada PhD itu sendiri. Selepas ini, jika PhD palsu tidak dibendung, masyarakat sudah tidak yakin dengan kualiti PhD dan tidak mustahil disamakan dengan sekeping sijil. Masyarakat tidak akan teruja untuk menyambung pengajian di peringkat PhD, sebaliknya akan mendapatkan PhD dengan cara yang tidak berintegriti.

Keenam, PhD palsu akan melahirkan ilmuwan palsu dan tidak tulen. Hal ini menjadi lebih parah apabila ia juga akan menghalang negara untuk mencapai sasaran 60,000 pemegang PhD menjelang 2023. Kumpulan bakat ini sangat kritikal dalam menjayakan pembangunan ekonomi Malaysia dengan kreatif dan inovatif.

Ketujuh, PhD palsu boleh mencemarkan reputasi sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT). Institusi itulah yang menganugerahkan PhD palsu. Justeru mana-mana IPT tidak boleh kompromi dalam isu ini. Namun, penulis percaya, IPT di negara ini tidak terbabit dalam isu penganugerahan PhD palsu seperti yang dibincangkan dalam tulisan ini.

Justeru, kita sangat menyokong usaha KPT yang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membangunkan pangkalan data khas bagi menyemak kesahihan status pemegang PhD individu. Kita berharap usaha yang baik ini dapat membendung penganugerahan PhD palsu yang memberi impak buruk kepada falsafah ilmu dan sistem nilai dalam masyarakat dan negara kita.

Pada masa sama, penulis percaya, setiap IPT di negara sentiasa memantau perkembangan PhD palsu ini dengan perancangan dan tindakan sewajarnya demi memelihara reputasi institusi masing-masing. Selain peranan di peringkat kementerian dan IPT, masyarakat awam dan media perlu terus berganding bahu dan memainkan peranan penting dengan melaporkan kegiatan PhD palsu ini jika wujud bukti yang kukuh.

Dalam sistem Raja Berperlembagaan, institusi Raja di negara kita masih lagi mempunyai peranan penting dalam beberapa urusan atau pentadbiran negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Sumber: BH Online



Sumber PhD palsu jenayah besar!

Post a Comment

Previous Post Next Post