Pereka fesyen Fiziwoo menjelaskan pakaian pengacara Neelofa pada Anugerah Meletop Era (AME2017) pada Ahad lalu merupakan trend digayakan selebriti antarabangsa.
Fizi berkata, gaya baju tee bermesej itu kini popular di luar negara dan menjadi pilihan ikon fesyen luar negara.
“Statements Tee sekarang menjadi trend di luar negara, ramai artis antarabangsa seperti Rihanna dan Kendall Jenner mengayakannya pada majlis-majlis hiburan mereka.
“Neelofa selebriti pertama di negara yang berani mencubanya dan kami percaya ia akan menjadi ikutan oleh masyarakat dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” ujarnya kepada mStar Online.
Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizi Radzi Woo mengulas tentang baju yang digayakan oleh Neelofa pada majlis AME2017 yang berlangsung malam Ahad lalu di Stadium Malawati, Shah Alam.
Pakaian baju tee dengan skrit labuh Neelofa ketika mengacarakan program itu dikritik dan dianggap tidak bersesuaian dengan majlis berkenaan.
Jenama fesyen Fiziwoo merupakan gabungan anak muda berbakat Fizi dan Khai.
Dalam pada itu, Khai atau nama sebenarnya Izree Kai Haffiz pula berkata, konsep baju berkenaan dilihat bersesuaian dengan majlis anugerah tersebut yang berbeza dengan majlis-majlis anugerah lain.
“Baju itu bersesuaian dengan AME2017 yang berkonsepkan lebih ceria, ia lebih seperti MTV Award dan bukannya seperti anugerah Oskar.
“Ketika kami cadangkan idea tersebut, Neelofa gembira dan teruja untuk mengayakannya. Kami juga ada sediakan baju lain yang lebih anggun pada malam itu tapi dia buat keputusan untuk tidak menukar baju itu,” ujarnya.
Sementara itu, Fiziwoo yang sudah empat tahun bertanggungjawab menyediakan pakaian untuk bintang popular itu mengakui gementar menerima persepsi masyarakat.
Katanya, mereka juga sudah menjangka sebarang komen sama ada baik dan buruk yang bakal diterima.
“Setiap tahun kami akan gementar untuk baca komen-komen netizen sebab kami tahu ia akan ada yang suka dan ada yang tidak boleh terima,” ujarnya.
Pada majlis berkanaan, Neelofa turut diumumkan sebagai pemenang Hos MeleTOP dan Program MeleTOP serta memenangi kategori utama iaitu Top Top MeleTOP (Wanita).
Sumber: Mstar
Sumber “Imej Neelofa ikut trend antarabangsa” – Pakaian digayakan di AME2017 dikritik netizen macam nak pergi main bola jaring, ini jawapan pereka fesyennya