Tiada halangan bagi pengguna mengambil tindakan undang-undang akibat kecuaian pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelenggara keadaan jalan raya, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kalau nak saman, samanlah. Kita tunggu sahajalah” – DBKL tak halang pengguna saman kerana jalan berlubang
Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata pihaknya sentiasa memantau dan membaiki jalan berlubang lebih-lebih lagi ketika musim hujan.
“Tiada ulasan dari saya kerana kita ini PBT. Dia hendak saman, dia samanlah. Kita tunggu sahajalah. Itu terpulang kerana sendiri [individu] punya urusan.
“Kita banyak jalan berlubang kerana banyak hujan tiap-tiap hari. Dengan keadaan ini sudah berlaku banyak kali tetapi kita ada kontraktor untuk membaiki lubang-lubang.
“Kita sudah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menurap balik jalan-jalan yang rosak,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika dihubungi ProjekMMO.
Beliau mengulas kenyataan Kelab motor Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) yang menyediakan khidmat guaman bagi menuntut keadilan kepada mangsa kemalangan jalan raya.
Tindakan saman dibuat bagi kes kemalangan yang berpunca daripada kecuaian PBT seperti jalan berlubang.
Ketuanya, Lando, nama popular Azlan Sani Zawawi mendakwa kontraktor yang dilantik lambat membuat kerja baik pulih malah menggunakan kualiti tar yang tidak bermutu.
Kumpulan itu turut mendakwa syarikat utiliti tempatan juga gagal menurap dan menyelenggara penutup lurang dengan baik terutamanya selepas kerja-kerja penggalian.
Bagaimanapun, Mhd Amin menegaskan kerja-kerja berkenaan sentiasa dipantau malah tindakan akan dikenakan kepada kontraktor jika gagal berkhidmat dengan baik.
Kontraktor daripada syarikat utiliti yang telah diberikan permit juga akan dipotong wang cagarannya jika didapati gagal membaiki jalan.
“Itu saya tidak pasti [mutu tar jalan], tapi kita ada jurutera semuanya memantau kerja-kerja oleh kontraktor-kontraktor DBKL.
“Itu sebab kita sudah berjumpa dengan utiliti di mana kalau kontraktor tidak buat kerja dengan bagus, kita akan potong deposit.
“Syarikat utiliti ada deposit [cagaran] dengan DBKL sebanyak RM10 juta tidak silap saya,” katanya yang tidak menamakan syarikat berkenaan.
ProjekMMO difahamkan setiap syarikat utiliti yang membuat kerja-kerja penggalian jalan raya perlu membayar sejumlah cagaran untuk menerima permit daripada PBT.
Sekiranya pemeriksaan mendapati kerja-kerja baik pulih tidak dibuat dengan baik, kos yang ditanggung DBKL akan dikenakan semula kepada syarikat utiliti.
Sumber: Malay Mail
Sumber “Kalau nak saman, samanlah. Kita tunggu sahajalah” – DBKL tak halang pengguna saman kerana jalan berlubang