Kelab motor Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) kini menyediakan khidmat guaman bagi menuntut keadilan kepada mangsa kemalangan jalan raya.
Video: Sudah ramai yang terkorban, Brotherhood kini sediakan khidmat guaman bantu mangsa jalan berlubang saman PBT dan JKR
Ketuanya Lando, nama popular Azlan Sani Zawawi berkata masyarakat tidak menyedari tindakan sedemikian boleh diambil jika kemalangan berpunca daripada kecuaian pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dengan banyak kemalangan maut, kami mengambil pendekatan menyemarakkan lagi kerja kami. Kami mengambil pendekatan lebih drastik untuk melantik peguam.
“Peguam kami akan mula mengambil tindakan saman, bukan sahaja terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi juga PBT.
“Dengan peguam, kami sudah berbincang minggu lepas dan akan bermula secepat mungkin. Mungkin ambil masa sedikit untuk peguam dan kami kaji undang-undang sesuai.
“Untuk pertahankan orang, kena tahu betul-betul,” katanya dalam satu wawancara bersama ProjekMMO.
Hanya tiga minit dan bermodalkan RM35, Brotherhood mudah menurap jalan.Lando, 42, merujuk kepada mangsa kemalangan disebabkan kecuaian PBT dan JKR seperti jalan berlubang, jalan mendap dan sebagainya.
“Kalau mangsa buat saman biasa, kemungkinan mereka tidak disokong. Kami sudah ada laporan dan kami ada rekod lubang-lubang seluruh Malaysia.
“Kami ada laporan-laporan disampaikan kepada JKR dan PBT.
“Sekiranya mangsa jatuh di lubang yang telah dilaporkan Brotherhood. Itu satu bukti kepada pihak pendakwa [peguam] kami.
“Kadang-kadang orang pun takut. Tidak mungkin berseorangan melawan JKR dan PBT. Kini mereka ada Brotherhood,” kata pelakon drama Roda-Roda Kuala Lumpur.
Bagi khidmat guaman, Brotherhood memberikan dua pilihan iaitu secara percuma dan berbayar.
“Kami ada barisan peguam yang diketua Zulkifli Awang. Jadi kita sediakan khidmat khusus siapa yang mahu melantik peguam.
“Kita bagi dua pilihan satu percuma, kami akan salurkan maklumat dan laporan untuk menyokong di mahkamah.
“Kami akan cadangkan mereka dapatkan khidmat peguam percuma daripada yayasan guaman tertentu.
“Kedua, pada yang berkemampuan untuk melantik peguam, boleh pilih peguam kami untuk terus berjuang mendapatkan keadilan,” katanya lagi.
Lando berkata dengan langkah begini pihak berkuasa perlu membuka mata dan tidak sambil lewa menguruskan kerja baik pulih jalan raya.
“Dengan tindakan sebegini, kita lebih kedepan. Pihak berkuasa jangan lengah-lengah baik pulih. Ini bila kita buat aduan, mereka lambat betul hendak betulkan masalah jalan raya.
Brotherhood juga membuat kerja-kerja kontraktor seperti mengecat dan membaiki rumah untuk menambahkan dana kegiatan mereka.Dalam pada itu, Brotherhood yang mempunyai hampir 500 ahli menegaskan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dalam soal ini.
“Ada juga orang kata kami ini sebelahkan parti politik dan sengaja hentam PBT. Kami agen parti politik tertentu.
“Sebenarnya tidak, kami tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana masalah setiap negeri sama. Masalah lubang ini semuanya sama.
“Yang penting apa yang kami buat ialah mahu mendesak masalah jalan di Malaysia selesai.
“Tetapi sudah 10 tahun masih seperti ini. Tiada apa yang berubah,” kata kumpulan yang aktif di sembilan negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
Selain dari poket sendiri, penerbit dan pengarah iklan komersial ini menjana pendapatan dengan menjual kemeja-T Brotherhood.
Mereka juga membuat kerja-kerja kontraktor seperti mengecat dan membaiki rumah untuk menambahkan dana kegiatan mereka.
Sumber: Malay Mail
Sumber Video: Sudah ramai yang terkorban, Brotherhood kini sediakan khidmat guaman bantu mangsa jalan berlubang saman PBT dan JKR