Uber Malaysia akan menjemput pemandunya, Rozeeta Abdul Manan yang kisahnya menjadi tular di media sosial untuk menyertai program inisiatif anjuran penyedia perkhidmatan perkongsian kenderaan itu.
Minggu lalu, Rozeeta atau Ojie menjadi bualan netizen selepas berkongsi pengalamannya yang melucukan apabila penumpang Uber yang dibawa adalah suaminya.
Ketua Komunikasi Uber, Leigh Wong berkata, syarikat itu mempunyai banyak inisiatif yang dilaksanakan khusus untuk rakan pemandu wanita.
Sebagai contoh katanya, Uber menganjurkan aktiviti sempena Hari Wanita Antarabangsa baru-baru ini dan Hari Ibu tidak lama lagi.
“Kami turut berhubung dengan komuniti rakan pemandu menerusi meja bulat dan sesi maklum balas dari semasa ke semasa, malah menerusi ‘chat groups’ yang antaranya turut mengkhususkan wanita.
“Kami akan menghubungi Rozeeta untuk mengucapkan terima kasih di atas sokongannya yang berterusan dan akan menjemputnya ke beberapa inisiatif anjuran kami,” katanya kepada mStar Online.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mStar Online pada Selasa mengenai cadangan Rozeeta kepada Uber berhubung keselamatan dan keselesaan pemandu dan penumpang wanita.
Sejak kisahnya menjadi tular, Rozeeta atau Ojie menerima banyak maklum balas daripada netizen terutama wanita yang mahu mengambil khidmatnya termasuk wanita yang berminat untuk menjadi pemandu Uber.
Tanpa mengulas secara terperinci, Leigh berkata, ‘ribuan’ dari ‘puluhan ribu’ pemandu Uber di seluruh negara adalah wanita.
Sehubungan itu katanya, orang ramai termasuk wanita boleh mengemukakan sebarang pertanyaan menerusi ‘live chat’ atau talian sokongan dari laman web www.rakanuber.com.
“Kami mengalu-alukan mereka yang berminat untuk mencari lebih pendapatan dengan cara yang fleksibel sebagaimana ‘ribuan’ wanita lain,” kata Leigh.
Minggu lalu, Ojie memuat naik gambar di Twitter yang menunjukan dia sedang bertugas sebagai pemandu Uber, manakala suaminya duduk di tempat duduk belakang sebagai penumpang.
“Dapat request Uber kat area rumah aku. Tunggu punya tunggu sekali suami sendiri sebokla nak ikut aku mana aku nak pegi!!! Kau bayar eh,” tulisnya, bersesuaian dengan ekspresi muka Ojie dan suaminya yang mencuit hati sehingga menarik perhatian netizen.
Malah kata Leigh, Uber turut tertarik mendengar kisah ‘comel’ Ojie yang dikongsi di media sosial.
“Kadang-kadang, anda tidak tahu apakah yang menarik dan pengalaman yang bakal dinikmati di dalam Uber. Terima kasih kerana membuatkan kami di Uber terhibur,” kata Leigh.
Sumber: Mstar
Sumber Kisah viral pemandu Uber wanita dapat penumpang suami sendiri jadi perhatian Ketua Komunikasi Uber Malaysia