Sepatutnya hari ini menjadi hari bahagia buat penyanyi Nora Ariffin bersama suaminya,komposer Johan Nawawi yang menyambut ulang tahun perkahwinan ke-25.
Namun, takdir telah menentikan hayat kehidupan mereka sebagai suami isteri hanya untuk 25 tahun saja selepas Johan menghembuskan nafas terakhirnya pada 24 Mac lalu.
Menerusi coretan di laman Instagram peribadinya 10 jam lalu, Nora berkata, jika suaminya itu masih ada, mereka akan berada di kota Mekah sempena usia perkahwinan tersebut.
“9 April 1992, hari pertama bergelar isteri abang. Tahun lepas kita sambut di Bali, abang suka dan nak pergi lagi.
“Tapi tahun ini kita rancang nak mengerjakan umrah sempena 25 tahun perkahwinan dan abang nak pakai tuxedo serta duet lagu Hanya Satu,” tulis Nora.
Bagaimanapun, Nora, 43, redha dengan suratan takdir kerana tahun ini dia tidak lagi dapat meraikan hari perkahwinan mereka.
“Hakikatnya hari ini abang dah tak ada. Abang pergi tinggalkan I buat selama-lamanya. Tak pernah terfikir abang akan pergi begitu cepat.
“Selama 24 tahun kita tak pernah berpisah lebih dari dua minggu. Tapi kita hanya merancang, Allah penentu segalanya.
“Allah lebih menyayangi abang. Dia lebih tahu dan dia ambil abang terlebih dahulu supaya tenang di taman syurga yang lebih indah dari dunia ini, “ luah Nora lagi.
Malah, Nora berjanji dan akan berpegang kepada pesanan suaminya itu untuk kuat menjalani kehidupan.
“I akan ingat pesan abang. I janji kena kuat demi untuk menjaga peninggalan abang itu. Zuriat-zuriat kita, mereka juga rindukan papa.
“Semoga kita sekeluarga dapat bertemu lagi disyurga, “katanya.
Johan menghembuskan nafas terakhir pada usia 52 di Ramsay Sime Darby Medical Centre, Subang Jaya, Selangor kerana sakit jantung.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Luahan syahdu Nora Ariffin