“Saya sayangkan anak saya. Saya akan ke pejabat JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Isnin ini (esok) untuk uruskan dokumen pengenalan diri dia, sebelum ini saya tidak tahu macam mana nak buat, insya-Allah saya akan sampai untuk urusan ini demi masa depan anak,” kata Mohamad (bukan nama sebenar), 40-an, bapa kepada Ahmad, kanak-kanak yang melakukan pelbagai kerja untuk menyara kehidupan mereka dua beranak.
Dia yang ditemui ketika selesai menerima rawatan di Klinik Cure & Care Chow Kit, awal pagi semalam memberikan komitmen itu kepada Ketua Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) Zulyadain Limat yang menjejak kelibatnya di sekitar kawasan itu sebagai reaksi segera atas laporan muka depan akhbar ini, semalam.
Dalam pertemuan yang turut dihadiri dua pegawai bahagian itu bersama wartawan, Mohamad mengakui dia cuba mendapatkan pekerjaan untuk memberikan yang terbaik kepada Ahmad, tetapi gagal kerana statusnya sebagai bekas penagih.
Katanya, kerana tidak mahu berjauhan dengan anaknya, dia mengambil keputusan untuk membawa Ahmad ke mana saja termasuk tinggal di dalam khemah di kaki lima sebuah bangunan dekat sini sambil berusaha mencari kerja.
Mohamad berkata, sebagai bapa, dia berusaha memberikan yang terbaik kepada Ahmad namun kerana tiada dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir, tidak banyak yang boleh dilakukannya.
Sumber: Metro
Sumber “Saya sayangkan anak saya, saya akan JKM uruskan pengenalan diri dia” – Bapa Ahmad janji untuk berubah