Terpalit kontroversi mempunyai hubungan dengan pelakon Aqasha, Rita Rudaini menafikan dirinya seorang anti-poligami.
Rita, 41, berkata bermadu dan merampas suami orang lain adalah dua perkara berbeza yang harus difahami masyarakat umum.
“Saya tidak pernah cakap anti -poligami, tidak pernah. Cuma saya tidak suka kepada perampas rumah tangga orang.
“Sesiapa pun tidak suka, kalau ada perempuan datang dan ambil suami kita, disuruhnya ceraikan isteri pertama, itu sudah salah.
“Sedangkan dalam agama sendiri dibolehkan berpoligami dengan syarat-syarat dan kepatuhan-kepatuhan tertentu, kenapa pandang keji?
“Saya sendiri tidak pernah pun mengeji wanita yang berstatus isteri kedua atau ketiga. Tidak pernah,” katanya seperti dilaporkan akhbar Mingguan Malaysia.
Selepas bergandingan dengan Aqasha dalam drama “Misi Laksa dan Laksam”, kontroversi hubungan istimewa mereka hangat diperkatakan sejak bulan lalu.
Mengulas mengenai kontroversi itu, Rita berkata tidak wajar mereka yang bernikah di negara jiran harus dipersalahkan.
“Saya sendiri tidak tahu macam mana isu itu berbangkit. Kalau kerana sebelum ini saya pernah berkahwin di sana dan mereka terus kaitkan, itu tidak adil.
“Kahwin di mana sekalipun tidak salah selagi ikut hukum hakam agama. Saya hairan mengapa masyarakat suka memandang hina perkahwinan di Siam?
“Sedangkan adalah lebih baik bernikah berbanding buat hal tak betul ke hulu ke hilir,” dia dilaporkan berkata.
Rita berkahwin dengan pemain bola sepak kebangsaan Mohd Aidil Zafuan Abd pada 2008 dan memiliki dua anak lelaki.
Bagaimanapun, perkahwinan itu retak apabila mereka bercerai pada 2013 melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Aidil.
Sumber: Projek MMO
Sumber “Saya tak suka perampas tapi saya bukan anti-poligami” – Rita Rudaini