Semuanya hanya kebetulan. Demikian kata Pengarah Urusan D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri mengenai wajah model dari India yang mirip wajahnya sehingga tular dalam laman sosial.
Menurut Aliff Shukri, sebelum ini dia pernah berjumpa individu yang mirip wajahnya di Johor.
“Saya percaya dalam dunia ini ada tujuh rupa sama atau seakan-akan sama. Sebelum ini, saya pernah jumpa rupa seperti saya di Johor.
“Tidak sangka ramai netizen yang ‘tag’ akaun Instagram saya di akaun model berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff Shukri bersyukur beg mengandungi wang RM50,000 yang tertinggal dalam pesawat ketika pulang dari umrah ditemui semula hasil kejujuran pramugara.
Menurut Aliff Shukri, beliau terlupa mengambil beg itu yang diletakkan di tempat duduk sebaik pesawat Malaysia Airlines dinaikinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saya bawa sekali nenek menunaikan umrah dan menguruskannya keluar dari pesawat.
“Saya terlupa dan tertinggal beg berisi duit RM50,000 dalam kapal terbang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Menurutnya, dia menyedari begnya tertinggal sejam selepas mendarat dan dalam perjalanan pulang.
“Lepas sejam, ketika dalam perjalanan pulang baru saya sedar beg tiada.
“Kelam kabut saya patah balik dan rupa-rupanya nya abang pramugara tolong simpankan. Saya memang puji sikapnya yang jujur kerana tiada langsung wang saya dalam beg itu hilang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aliff berkata, dia akan bekerjasama dengan KRU Studio bulan depan. “Suara saya akan digunakan dalam salah satu watak kartun yang diterbitkan KRU Studio, bulan depan,” katanya yang turut memaklumkan filem Badang lakonannya akan ditayangkan pada Ogos ini.
Sumber: Metro
Sumber “Semuanya hanya kebetulan” – Model sado dari India yang terlajak serupa dengan Datuk Aliff Syukri