Selebriti terkenal, Serina Redzuawan meluahkan rasa sedih dan mengakui menangis setiap kali melihat anak-anaknya tersenyum tanpa mengetahui pergolakan rumah tangga kedua ibu bapa mereka.
Serina menerusi laman sosial Instagramnya berkata, dia juga tidak mahu anak-anaknya, Tristan Tareef, 6, dan Isabella Saffiya, 5, menjadi trauma apabila membaca komen-komen negatif di laman sosialnya.
Malah luah anak kepada Cef Selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan ini, dia sebenarnya sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan rumah tangganya namun, banyak perkara sensitif yang menjadi punca dia memfailkan perceraian.
Jelasnya, dia tidak berniat untuk mensensasikan kisah pergolakan rumah tangga dan kerana itu dia memilih untuk mengunci mulut daripada pertanyaan media dan peminat.
“Bila saya tengok anak-anak ketika jemput mereka balik dari sekolah, saya mesti menangis. Sebab mereka sentiasa senyum kepada saya. Mereka masih kecil tidak tahu apa-apa.
“Tidak ada mana-mana insan yang telah mendirikan masjid (lalu) ingin merobohkannya. Saya dah cuba sedaya upaya menyelamatkan (rumah tangga) malangnya banyak perkara yang terlalu sensitif. Saya tak boleh cerita menjadi puncanya.
“Apa yang kamu semua baca daripada Instagram Papa (Chef Wan) dan Gavin jawab, realitinya hanya Serina yang tahu serta menanggungnya. Papa juga ada hak bersuara kerana dia adalah ayah saya,” katanya.
Dalam pada itu, Serina juga memohon agar semua pihak tidak memperbesar isu tersebut lagi dan mendoakan semuanya selesai dengan baik.
“Janganlah melempar minyak pada api yang sedang menyala. Kalau kamu semua ikhlas jadi peminat dan penyokong keluarga kami, tolonglah jangan kita besarkan lagi hal ni.
“Kami (masih) dalam kes mahkamah. Biarkan mahkamah yang tentukan apa yang terbaik. Saya memang sedih dan tertekan. Doakan semua selesai dengan baik. Minta maaf, saya tidak dapat menjawab panggilan dan soalan bertubi-tubi,” katanya.
Serina mendirikan rumah tangga tujuh tahun tujuh tahun lalu bersama dengan lelaki berketurunan Inggeris, Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Serina menangis tengok anak-anak