Pengiktirafan beberapa organisasi antarabangsa membuktikan tudung Naelofar Hijab berkualiti tinggi dan bukan hasil keluaran negara jiran, kata Neelofa.
Pengacara MeleTop berkata dakwaan pihak tertentu yang mengatakan tudung keluarannya diimport dari Vietnam tidak perlu dijawab selepas Forbes sendiri menilai hasil usaha gigihnya.
“Saya tidak perlu buktikan apa-apa. Saya tidak perlu bersusah payah menerangkan kepada orang ramai.
“Bila Forbes, BBC dan Bloomberg datang kepada saya, itu bermakna hasil kerja keras saya mendapat pengiktirafan dan dihargai.
“Dengan pengiktirafan dari organisasi seperti ini, ia menunjukkan Naelofar Hijab mengeluarkan produk berkualiti tinggi dan kompeten,” katanya kepada ProjekMMO.
Pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor diminta mengulas namanya yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017.
Pengasas NH Prima International Sdn Bhd tersenarai di bawah kategori runcit dan e-dagang selepas bergiat aktif dalam perniagaan termasuk Naelofar Hijab.
Senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2017 menampilkan 300 usahawan muda dan peneraju yang membawa impak besar kepada dunia hari ini.
Individu yang menerima penghargaan itu berusia di bawah 30 tahun dan dipilih oleh penilai yang merupakan tokoh terkemuka dalam bidang masing-masing.
Neelofa, 28, berkata disenaraikan oleh Forbes merupakan satu kejutan baginya kerana baru tiga tahun menubuhkan syarikat berkenaan.
“Apabila mereka hubungi saya untuk senarai itu, saya berasa seperti mimpi menjadi kenyataan kerana ia satu benda yang besar.
“Saya percaya ia menjadi impian setiap orang terutama mereka yang berada dalam bidang perniagaan.
“Untuk mendapat perhatian sehingga ke tahap ini seperti tidak percaya apatah lagi Forbes sesuatu yang besar,” katanya teruja.
Pelakon drama Suri Hati Mr Pilot berkata dengan pengiktirafan Forbes maka rencana Naelofar Hijab untuk meneroka pasaran antarabangsa akan dipermudahkan.
Sumber: Projek MMO
Sumber Tudung diimport dari Vietnam, Neelofa jelaskan tak perlu buktikan apa-apa selepas Forbes nilai usahanya