Malah Aaron Halbert juga membuat satu keputusan yang melangkaui norma-norma perkauman dan prejudis apabila membenarkan isterinya, Rachel menggunakan embrio beku seorang wanita berkulit hitam dan melahirkan bayi kembar tiga.

Sebelum ini, kedua-dua mereka memutuskan untuk mengambil dua anak angkat berkulit hitam, berusia tiga dan dua tahun, selepas berkahwin beberapa tahun lalu kerana keinginan untuk menjadi ibu dan bapa.

Namun keputusan itu telah dipandang serong oleh pelbagai pihak yang masih tidak dapat menerima ‘amalan’ mengambil anak angkat dalam kalangan kanak-kanak atau bayi berkulit hitam khususnya di kawasan Amerika Selatan.

Akhbar Washington Post melaporkan, tidak kisah dengan ‘apa kata orang’, Aaron seterus­nya memutuskan agar Rachel menggunakan kaedah hamil dengan embrio beku yang ‘disimpan’ sejak 15 tahun lalu.

Walaupun pada awalnya tidak pernah terfikir mempunyai sebuah keluarga besar, mereka yang berpendirian ‘setiap nyawa itu istimewa’ membuat keputusan tersebut bagi membina kehidupan baharu.

Rachel selamat melahirkan bayi kembar tiga di Honduras, kelmarin.

Menurut Aaron, dia dan isterinya tidak me­nyangka akan memiliki anak apabila mula bercinta sejak 12 tahun lalu.

“Semua manusia adalah sama tanpa me­­ngira kaum atau warna kulit. Namun kami kini sa­ngat gembira kerana memiliki sebuah ke­luarga yang bahagia dan besar,” katanya.