Lima belas tahun adalah satu masa yang lama. Lebih dari rindu. Tiada perkataan dapat menggambarkan betapa gembiranya hati ini untuk berjumpa dengan mak.
Lima belas tahun lepas, ayah melarikan aku dari mak. Aku darjah tiga. Selesai waktu persekolahan, aku ditipu ayah kononnya kami ingin pergi mengambil mak untuk pergi bercuti. Aku gembira kerana kami memang dah lama tak bercuti. Lagipun, sejak tiga bulan lepas, mak dan ayah selalu bertengkar. Aku tak selesa di rumah. Suasana selalunya tegang. Pantang mak atau ayah buat salah sikit, mereka akan bergaduh. Menjerit, baling barang dan kadang-kadang bercakaran. Aku malu dengan jiran. Walaupun aku masih kecil, aku tahu perkara ini memalukan. Oleh itu, bila ayah cakap kami nak bercuti, aku ingat ini usaha mereka untuk berdamai.
Silap aku juga terlampau percayakan ayah. Dalam perjalanan dari sekolah itu, aku tidur. Bila aku terjaga, kami sudah jauh dari mak. Sejak dari itu, ayah halang aku dari berhubung dengan mak. Aku pun tak tahu kalau mak cuba cari aku. Aku hanya manusia berumur sembilan tahun. Tak banyak yang aku mampu usahakan.
Bila umur aku meningkat dewasa, aku cari mak. Rumah lama kami sudah tiada penghuni. Mungkin mak duduk rumah makcik aku. Mungkin mak duduk berseorangan di tempat lain. Rumah lama kami atas nama ayah. Aku rasa ayah halau mak. Aku hanya mampu teka. Ayah tak akan jawab soalan tentang mak.
Ayah tak kahwin lain. Aku rasa ayah masih sayang mak. Sebab itu aku nak berusaha menemukan mereka semula. Aku tanya kawan-kawan lama aku tentang mak. Mereka tanya orang tua mereka. Lepas SPM baru aku dapat hubungi mak.
Tapi, mak jauh. Aku belum mampu pergi jumpa mak. Mak di Sarawak. Mak jumpa teman baru di sana. Aku bersyukur yang mak tak berseorangan. Sekurang-kurangnya ada orang jaga mak.
Setelah aku dapat kerja baru aku mampu datang Sarawak. Itu pun aku tipu ayah aku datang sini atas urusan kerja. Ayah dah tua, tak perlu aku kacau perasaan dia. Biarlah pertemuan ini dirahsiakan. Aku selalu berhubung dengan mak melalui telefon. Mak tak sabar nak jumpa aku. Aku masih ada tempat di hati mak.
Setelah lima belas tahun, kini aku berdiri depan rumah mak. Hatiku berdebar. Walaupun mak ada hantar gambar, tapi aku masih perlu tatap muka mak depan-depan. Aku rindu bau mak. Aku rindu suara mak. Aku rindu tangan mak yang dulu selalu mengusap kepala aku. Aku datang dari jauh untuk mengalami semua itu sekali lagi. Setelah lima belas tahun.
Aku ketuk pintu. Tak sempat tiga kali, pintu dibuka.
“Anak mak!”
Mak peluk aku. Belum sempat aku puas tatap muka mak, aku menangis. Aku selalu mimpi saat ini. Sudah lima belas tahun.
Mak ajak aku masuk.
“Mak, mak rindu Apit?”
“Mesti la. Tiap-tiap hari mak menangis bila tengok gambar Apit.”
“Mak ingat lagi tak hari terakhir mak hantar Apit pergi sekolah? Mak buat bekal untuk Apit makan dekat sekolah. Tak pernah mak buat bekal untuk Apit. Apit tahu sesuatu akan terjadi hari itu.”
Mak usap air matanya, “Semuanya mak ingat, Apit. Mak buat masak lemak ketam kegemaran Apit. Mak letak dalam bekas warna biru.”
“Semalam mak cakap ada benda penting nak tanya Apit. Apa?”
Mak usap air matanya lagi , “Sudah lima belas tahun mak berusaha cari Apit. Mak nak tanya ni, bekas tu Apit simpan lagi tak? Tupperware original tu. Mahal mak beli.”
Apit menangis.
Sumber: Kejohntanan
Sumber “Mak ingat lagi tak hari terakhir mak hantar Apit pergi sekolah?” – 15 tahun terpisah dengan ibu kandung lepas dihalau ayah, lelaki ini cerita detik pertemuan dua beranak itu yang menyedihkan