“Tidak timbul isu minta maaf sebab dia tak salah pun,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan maaf Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di atas tindakannya membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar pada Jumaat.
Baca artikel sebelum: Gambar: Mufti Wilayah Persekutuan mohon maaf kerana bonceng motosikal tak pakai topi keledar
Nadzri ketika dihubungi mStar Online berkata, mengikut undang-undang jalan raya, seseorang itu dikecualikan memakai topi keledar atas faktor agama.
“Selagi ia dibenarkan maka bukan menjadi isu. Tiada masalah bagi mereka (memakai serban) untuk tidak memakai topi keledar, sekiranya ada kaitan dengan kepercayaan dan keagamaan.
“Kalau nak pakai topi keledar dan nak buka (serban), terpulang kepada kesedaran masing-masing sekiranya merasakan pemakaian topi keledar itu lebih selamat,” katanya.
Mengikut Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975 di mana kelonggaran diberikan kepada mereka yang memakai serban seperti haji, lebai dan kaum Sikh.
Terdahulu, Zulkifli menerusi kenyataan di Facebooknya menjelaskan, insiden itu berlaku kerana beliau terlibat dalam program cerapan anak bulan Ramadan di Menara Kuala Lumpur pada Jumaat petang.
“Mungkin ada yang ternampak kami membonceng motosikal tanpa memakai helmet sebentar tadi.
“Memandangkan jalan raya agak sesak dan tidak mahu menyusahkan penganjur dan kelancaran majlis dek terperangkap dalam jalan raya, keputusan diambil untuk membonceng motosikal ini,” katanya yang mengenakan serban di kepalanya.
Zulkifli turut memuat naik gambar dari arah belakang yang menunjukkan beliau membonceng motosikal, dipercayai dirakamkan oleh orang awam.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas tindakan tidak memakai topi keledar.
Dalam pada itu, Nadzri mengagumi Mufti Wilayah Persekutuan di atas kesedarannya yang prihatin tentang keselamatan sebagai pengguna jalan raya, dan seharusnya wajar dicontohi orang ramai.
“Baguslah di atas kesedarannya,” kata Nazdri, bagamanapun menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan serban semata-mata tidak mahu memakai topi keledar.
Sumber: MStar
Sumber Mufti minta maaf kerana tak pakai helmet, KP JPJ kata tak salah pun