Seorang pemuda disini mendakwa kerugian lebih RM100,000 selepas ditipu dalam urus niaga dengan sebuah syarikat produk membabitkan seorang artis lelaki terkenal tanah air.
Mangsa, Jamal Abd Rahman, 47 berkata, dia menyertai urus niaga tersebut selepas diyakinkan sendiri artis yang sudah berada dalam industri sejak 30 tahun lalu dalam satu perjumpaan diadakan di Segamat pada Syawal tahun lalu.
Menurutnya, syarikat yang dikendalikan anak dan menantu kepada artis berkenaan menampilkan pelbagai produk antaranya minyak wangi, kopi, jus yang dilabelkan dengan nama artis tersebut.
“Dalam urus niaga itu mereka tawarkan dua pakej sama ada saya mahu jual sendiri atau pihak syarikat jualkan. Jadi saya pilih untuk syarikat jualkan.
“Selepas membayar sebanyak RM140,000 kepada pihak syarikat, penjualan sepatutnya dijalankan namun sejak sekian lama tidak berlaku. Melihat keadaan itu, saya kemudian menuntut kepada syarikat untuk menjual sendiri produk berkenaan.
“Apa yang saya kesalkan syarikat hanya memberikan produk yang bernilai RM10,000 sahaja selebihnya tidak diberi. Lebih teruk mereka bertindak lepas tangan apabila dihubungi tidak dapat, bila ke pejabat di Kota Damansara, Petaling Jaya sudah ditutup dan bila ke rumah artis berkenaan sudah berpindah,”katanya ketika ditemui hari ini.
Jamal yang kini menjalankan perniagaan kedai makan dan menetap di Felda Semenchu berkata, dia bukanlah seorang yang mudah untuk melabur kepada sesuatu perniagaan dengan modal yang besar.
Katanya, oleh kerana dia sudah lama mengenali artis itu dan menganggapnya seperti saudara sendiri selain kata-kata manis yang keluar dari mulut artis berkenaan menyebabkan dia tertarik untuk menyertai perniagaan itu.
“Hampir dua bulan juga saya membuat kajian tentang syarikat itu sebelum melaburkan wang simpanan hasil titik peluh bekerja selama ini.
“Masa mula-mula bercakap pasal perniagaan dan suruh saya melabur sama, artis tersebut sempat memberitahu niatnya hanya nak menolong orang Melayu memajukan diri. Ketika itu juga dia cakap perniagaan dijalankan tidak menipu atas dasar dirinya merupakan seorang yang terkenal di tanah air ini.
“Sebaliknya bila berlaku hal seperti ini dia tidak mahu bertanggungjawab. Tambahan pula jumlah saya laburkan bukanlah sedikit. Masa itu saya hanya fikir keuntungan itu nanti dapatlah digunakan untuk hari tua namun hampa….,”katanya lagi.
Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat Jamal di Balai Polis Bandar Penawar disini agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang berkenaan.
Tambahnya, dia kini juga sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat dan artis tersebut.
“Terbaru saya dimaklumkan selepas syarikat ditutup kini mereka sedang membuka sebuah kafe di Miri, Sarawak.
“Saya percaya bukan saya seorang sahaja yang menjadi mangsa tetapi ramai lagi cuma mereka mungkin tidak tampil ke depan seperti saya. Meskipun peratusan untuk mendapatkan kembali wang saya mungkin tipis saya tidak kisah, apa lebih penting saya tidak mahu lebih ramai lagi orang terpedaya dan ditipu.
“Saya harap pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tidakan tegas dalam hal ini,”katanya.
Sumber: Media Hiburan
Sumber Siapa artis terkenal tipu orang sampai RM100,000 lebih