Rahim kena 6 pertuduhan termasuk rogol isteri orang ketika suami wanita itu tidur di ruang tamu

TUKANG rumah warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, atas enam pertuduhan termasuk menyamun, merogol dan melarikan diri daripada tahanan polis di sekitar Klang.

Rahim Muhamad Pugawan, 23, yang berasal dari Madura membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut dua pertuduhan awal, tertuduh didakwa menyamun telefon bimbit wanita berusia 34 tahun dengan menggunakan pisau dan merogol mangsa di Kampung Rantau Panjang, Klang, 4.30 pagi, 7 Jun lalu.

Bagi dua pertuduhan berikutnya, dia didakwa menyamun tablet dan telefon bimbit milik dua individu serta menyerang wanita 22 tahun dengan niat mahu mencabul kehormatan di rumah di Bukit Kapar, 3.30 pagi, 27 Mei lalu.

Duda yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) itu turut didakwa sengaja melarikan diri daripada tahanan polis di tandas pejabat Detektif dan Soal Siasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara, 3.30 petang, Isnin lalu.

Bagi pertuduhan terakhir, Rahim didakwa memasuki negara ini tanpa memiliki dokumen sah di Plaza Tol Grand Shapadu, Bukit Raja, pada 4.30 petang, 13 Jun lalu.

Oleh itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2), Seksyen 354 dan Seksyen 392/397, Seksyen 224 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Jika didapati bersalah, dia antaranya boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum dua tahun hingga 30 tahun atau denda dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Rizal Azani Zainal Adzam yang mengendalikan kes memohon tarikh sebutan semula untuk jatuh hukum.

Tiada kos jaminan ditawarkan berikutan tertuduh adalah warga asing.

Surita kemudian menetapkan sebutan bagi semua kes pada 20 Julai depan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tertuduh merogol mangsa dengan kemaluannya mempunyai ‘ball bearing’ ketika dia dan dua lagi rakannya memecah masuk rumah berkenaan.

Menerusi operasi khas jenayah IPD Klang Utara, mereka ditahan di Plaza Tol Grand Shapadu di sini, seminggu kemudian namun berjaya melarikan diri melalui tandas IPD Klang Utara dengan keadaan tangan bergari.

Suspek berpura-pura kononnya mahu membuang air tetapi dia mengopak jeriji besi pada tingkap di tandas berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan semula kurang 24 jam ketika cuba mencabul kehormatan remaja perempuan 14 tahun di Kampung Baru Hicom, Shah Alam.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Rahim kena 6 pertuduhan termasuk rogol isteri orang ketika suami wanita itu tidur di ruang tamu

Post a Comment

Previous Post Next Post