Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) kali keenam bagi bulan Jun menyaksikan seorang wanita, Anizah Abd Hamid dari Pahang menjadi pemenang hadiah istimewa dengan menerima ganjaran wang tunai RM1 juta.
Turut menerima ganjaran menarik dari BSN ialah Roslan Sehan dari Kuala Lumpur yang diumumkan sebagai pemenang kategori Cabutan Bulanan sekali gus melayakkannya memiliki sebuah Mercedes Benz c200.
Seorang remaja dari Pahang, Fong Kar Hou, terpilih menerima ganjaran bagi kategori khas Cabutan Remaja yang melayakkannya mendapat BSN SSP bernilai RM10,000.
Nama ketiga-tiga pemenang cabutan kali keenam bagi bulan Jun itu diumumkan hari ini di Wisma BSN, Jalan Ampang dengan konsep baharu bagi 2017 “12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan”.
Ganjaran ditawarkan adalah sebanyak RM1 juta bagi kategori Cabutan Istimewa, sebuah Mercedes Benz c200 bagi Cabutan Bulanan, RM10,000 BSN SSP bagi kategori khas Cabutan Remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun dan 15 unit Iphone 7 bagi kategori biasa.
Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Peruncitan & Perniagaan Komuniti, Datuk Mearia Hamzah berkata, BSN SSP adalah produk simpanan unik dan tersendiri berbanding produk simpanan ditawarkan di pasaran.
Katanya, menerusi cabutan istimewa dibuat setiap bulan, penyimpan SSP yang mempunyai simpanan minimum RM3,000 dan ke atas layak menyertai serta disenaraikan dalam cabutan yang menawarkan wang tunai sebanyak RM1 juta ini.
“Ganjaran hebat kali ini adalah untuk menggalakkan lagi simpanan dalam kalangan penyimpan BSN dan daripada hasil keseluruhan ganjaran sebanyak RM17.7 juta, sebanyak 13,536 ganjaran akan ditawarkan kepada penyimpan BSN SSP sepanjang 2017 di mana 1,128 ganjaran akan diberikan setiap bulan,” katanya.
Pada majlis itu, BSN turut meraikan pemenang bulan Mei 2017 di mana ganjaran RM1 juta dimenangi Teo Thuan Hock dari Sabah manakala BMW 330e menjadi milik Aziz Husin dari Perlis dan Nur Faiezah Osman dari Johor dipilih sebagai pemenang kategori remaja yang menerima SSP RM10,000.
Pelanggan sedia ada dan baru boleh membuat simpanan SSP menerusi kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan perbankan Internet di myBSN.
Saluran lain turut disediakan kepada pelanggan untuk membuat simpanan iaitu melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) dan mesin deposit tunai (CDM).
Sumber: BH Online
Sumber Anizah menang cabutan BSN SSP RM1 juta