Polis menemui semula ambulans Hospital Kuala Krai yang hilang Ramadan lalu di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Labok, Machang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika ditemui tulisan pada kenderaan telah dibuang bagaimanapun catnya masih dalam keadaan asal.
“Bertindak dari laporan awam polis membuat serbuan ke bengkel dan menemui semula ambulans yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Berikutan penemuan itu, dua lelaki melayu berusia 35 dan 36 tahun telah ditahan dipercayai terlibat dengan kehilangam kenderaan ini,” katanya.
Abdullah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A, Kanun Keseksaan.
21 Jun lalu, Ambulans Hospital Kuala Krai yang mengalami kerosakan brek dihantar syarikat konsesi ke sebuah bengkel di Guchil Empat untuk dibaiki.
Bagaimanapun kenderaan diletakkan di pekarangan bengkel disedari hilang pemilik premis ketika hendak memulakan operasi keesokan harinya.
Berikutan itu satu laporan dibuat di Balai Polis Kuala Krai.
Sumber: Sinar Harian
Sumber Ambulans Hospital Kuala Krai yang hilang ditemui dalam bengkel