Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama menjadi tetamu utama hadir dalam Kongres Diaspora (Orang Indonesia di perantauan) di Jakarta hari ini.
Kedatangan presiden pertama kulit hitam Amerika Syarikat itu ke kongres berkenaan disambut penuh meriah.
Dalam ucapannya, Obama bercakap mengenai tolak ansur dalam beragama yang diamalkan di Indonesia dengan merujuk bapa tirinya sebagai contoh.
“Ayah tiri saya, dia Muslim, tapi dia hargai orang Hindu, Buddha, Kristian,” katanya disambut tepukan dan sorakan gemuruh oleh kira-kira 4,000 orang yang hadir, seperti dilaporkan BBC Indonesia.
Obama berkata, sikap toleransi yang dilihat dari bapa tirinya, Lolo Soetoro dan pengalaman semasa kecil di Indonesia, menjadi pengajaran berharga untuknya “menghargai perbezaan”.
“Dan ketika melihat Candi Borobudur yang merupakan candi Buddha, di tengah negara Muslim, Candi Prambanan yang Hindu dan dilindungi negara Muslim, wayang kulit dan Ramayana di negara Muslim, semangat Indonesia harus toleransi. Dan itu juga dilihat dari gereja dan masjid yang bersebelahan,” kata Obama.
Menurut Obama, toleransi merupakan semangat paling penting bagi Indonesia yang harus ditiru negara-negara Muslim lain di seluruh dunia.
Bagaimanapun, beliau menyedari sikap anti-toleransi dan diskriminasi yang sedang berkembang, dengan menyatakan teknologi dan internet sebagai punca utama.
“Maklumat segera menyebarkan berita buruk membuatkan orang bimbang sehingga mencari kedamaian dengan cara yang salah,” katanya.
Presiden ke-44 Amerika Serikat itu meminta golongan muda supaya mempromosikan sikap toleransi.
Di penghujung ucapannya Obama berkata, “Kita harus menghargai satu sama lain. Kalau anda yakin kepercayaan anda adalah benar, anda tentunya tidak perlu kuatir dengan kepercayaan orang lain,” katanya.
Obama mengadakan lawatan dan bercuti di Indonesia sejak 23 Jun lalu. Bali, Yogjakarta dan Jawa Tengah menjadi tempat persinggahan percutian Obama dan keluarganya.
Sumber: Malaysiakini
Sumber “Ayah tiri saya Muslim tapi hargai orang Hindu, Kristian” – Obama