Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengenakan kompaun (denda) terhadap premis yang tular di media sosial berkaitan caj ikat tepi.
Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan mendapati premis tersebut gagal mempamerkan tanda harga dan tanda harga bagi tambahan caj ikat tepi (tambahan RM 0.30 jika bungkus) pada minuman limau asam boi dan minuman yang lain.
Baca artikel sebelum: Kedai caj ikat tepi 30 sen diserbu KPDNKK
“Justeru itu, premis telah dikenakan kompaun (denda) di bawah kesalahan AKHAP 2011,” menurut kenyataan yang dipetik dari laman Facebook KPDNKK hari ini.
Pada masa sama, peniaga premis berkenaan turut diberi amaran supaya mempamerkan tanda harga termasuk tambahan harga bungkus.
Semalam, KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memeriksa premis tersebut yang terletak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar.
Pengarahnya, Ummi Nasrah Othman berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terhadap penandaan harga di premis perniagaan di kawasan tersebut.
Menurutnya, 14 premis perniagaan termasuk kedai menjual pakaian dan mini market diperiksa dalam operasi itu.
Sumber: Sinar Harian
Sumber KPDNKK kompaun premis caj ikat tepi 30 sen kerana tak pamer harga