LHDN mohon maaf silap letakkan status polis bantuan meninggal dunia sedangkan masih hidup

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) memohon maaf kepada polis bantuan, Amran Mohamed di atas kesilapan dan kecuaian meletakkan status pembayar cukai berkenaan sebagai sudah meninggal dunia dan menuntut baki cukai tertunggak daripada waris sah.

LHDN dalam kenyataan berkata, pihaknya mengakui berlaku kesilapan data borang dan kecuaian di pihak mereka dalam menentukan status pembayar cukai.

Baca artikel sebelum: Polis bantuan terkejut LHDN hantar surat kata dia dah meninggal dunia, suruh isteri bayar hutang

“Melalui semakan lanjut yang dibuat, LHDN mendapati pembayar cukai masih hidup dan dengan ini ingin memohon maaf kepada pembayar cukai itu atas kesilapan yang berlaku.

“Surat permohonan maaf akan dihantar kepada pembayar cukai berkenaan dan tindakan yang bersesuaian juga akan diambil bagi mengelakkan kesilapan sebegini supaya tidak akan berulang pada masa hadapan demi menjaga nama baik LHDN sebagai pentadbir cukai langsung negara,”katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang polis bantuan terkejut apabila menerima surat dari LHDN menyatakan dia sudah meninggal dunia.

Surat itu turut meminta lelaki berkenaan, Amran Mohamed, 45, menjelaskan baki hutang sebanyak RM1,728.50 kepada agensi terbabit.

Amran dari Taman Murni, Paka, dekat Dungun, berkata, surat bertarikh 25 Julai itu diterima isterinya, Zakiah@Normah Sulong, 43, semalam, selain memaklumkan tidak mempunyai tunggakan cukai.

Sementara itu,LHDN berkata, pihaknya masih dalam peringkat membuat semakan baki cukai pembayar cukai berkenaan sama ada masih mempunyai tunggakan seperti yang dinyatakan dalam surat berkenaan atau sebaliknya.

“Kami akan mengemaskini pembayar cukai berkenaan dengan kedudukan cukai beliau selepas semakan terperinci dilakukan,” katanya.

Pada masa sama, LHDN menjelaskan, pihaknya mempunyai kuasa untuk membuat tuntutan baki cukai tertunggak kepada waris sah mana-mana individu yang meninggal dunia (si mati) mengikut Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Katanya, sekiranya waris sah si mati tidak mempunyai kemampuan untuk membayar tunggakan itu secara sekaligus, LHDN menasihatkan waris sah si mati mengunjungi pejabat LHDNM untuk perbincangan bayaran secara ansuran.

Menurutnya, bagi individu yang meninggal dunia, taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematiannnya.

“Pendapatan seorang individu itu akan dikenakan cukai sebagai pendapatan sehingga tarikh kematian, walaupun taksiran akan dibuat di atas nama wakil sah.

“Apa sahaja pendapatan yang diperoleh selepas tarikh kematian tidak akan dianggap pendapatan si mati, dan dianggap sebagai pendapatan harta pusaka individu yang meninggal serta ditaksir atas nama wasi atau pentadbir harta pusaka.

“Satu fail baru akan didaftarkan untuk tujuan menaksir pendapatan harta pusaka si mati,”katanya.

Sementara, kadar cukai yang dikenakan ke atas pentadbir harta pusaka atau wasi adalah sama dengan kadar cukai yang dikenakan ke atas individu.

Namun, sekiranya si mati mempunyai lebihan kredit, waris sah si mati boleh menuntut bayaran balik ke atas lebihan kredit itu.

“Cukai tertunggak pula wujud apabila baki cukai gagal dibayar dalam tahun semasa sehingga melangkau ke tahun taksiran berikutnya.

“Sekiranya si mati mempunyai tunggakan cukai, wasi (waris sah) bertanggungjawab untuk menyelesaikan bayaran tunggakan itu,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber LHDN mohon maaf silap letakkan status polis bantuan meninggal dunia sedangkan masih hidup

Post a Comment

Previous Post Next Post