Dua pekerja syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan beras bernilai RM1.107 juta Mac lalu.
Turut didakwa adalah seorang pemandu lori yang dipercayai bersubahat dengan mereka melarikan beras jenis Thai White Rice seberat 515,050 kilogram itu dari premis milik syarikat itu di Kawasan Perindustrian Perai dekat sini.
Pekerja Bernas, Mohd. Khairie Mohd. Noor dan Mohamad Taufik Akman serta pemandu lori, C. Ramanathan bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamed Yunos.
Hakim Norhayati kemudiannya menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan mereka diperintahkan diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azrul Abdul Rahman manakala Mohd. Khairie diwakili peguam Ahmad Rizal Abdul Hamid dan Chong Sey Thing mewakili Mohamad Taufik sementara Ramanathan tiada peguam.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Pekerja Bernas didakwa pecah amanah larikan beras bernilai lebih RM1 juta