Cik Pang geleng kepala apabila mendengar cerita daripada seorang teman produksi membabitkan pelakon baru, Intan Najwa.
Aduan teman itu membuatkan Cik Pang terfikir apa tujuan sebenarnya Intan Najwa membabitkan diri dalam dunia seni dan menjadi pelakon.
Bercerita lanjut kata teman ini, mereka terkesima apabila pelakon yang mempunyai wajah seiras Wawa Zainal ini dikatakan enggan menghitamkan rambutnya bagi menjayakan satu watak ditawarkan.
Lebih daripada itu, dia juga memberi syarat kepada pihak produksi bahawa sepanjang penggambaran drama dia mahu mengenakan kanta lekap berwarna.
Sedangkan dengan berambut perang dan memakai kanta lekap berwarna sangat tidak sesuai dengan watak yang ditawarkan kepadanya iaitu sebagai wanita kampung.
Disebabkan enggan menukar warna rambut kepada hitam dan tidak dibenarkan memakai kanta lekap berwarna, Intan Najwa sanggup menolak tawaran watak diberikan itu.
Dalam hati Cik Pang apabila mendengar alasan diberikan, sayangnya kerana sebagai orang baru inilah masanya untuk Intan Najwa mencuba pelbagai bakat dan mempamerkan kemampuan diri juga bakat.
Sebenarnya perihal seperti ini sudah banyak Cik Pang dengar membabitkan pelakon baru terutama wanita.
Tidak dinafikan setiap kali menerima aduan seperti ini membuatkan Cik Pang berasa meluat dan mempersoalkan pembabitan mereka dalam bidang seni.
Sebagai pelakon, bukankah kita perlu melakonkan pelbagai watak dan karakter, jadi mengubah penampilan diri agar wujud kedekatan dengan karakter yang dilakonkan adalah sebahagian tuntutan untuk menjadi pelakon.
Selepas ini, janganlah Intan Najwa marah pula kalau pihak penggiat sendiri tidak lagi menganggap dia sebagai pelakon serius kerana tindakannya itu pastinya menjadi buah mulut orang keliling. Kalau tidak, takkan ia boleh sampai ke pengetahuan Cik Pang.
Sumber: Harian Metro
Sumber Produksi terkesima Intan Najwa tolak tawaran berlakon jadi gadis kampung gara-gara disuruh hitamkan rambut dan tak dibenar pakai lens berwarna