“SUAMI sanggup jual motosikal kesayangan untuk majlis perkahwinan kami dan bagi membalas pengorbanannya, saya hadiahkan RXZ kepadanya sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan pertama kami.”
Kisah Nurlinda Hamidan, 26, menghadiahkan motosikal Yamaha RXZ kepada suaminya, Mohamad Firdaus Md Said, 25, menjadi tular di laman sosial sejak Rabu lalu.
Menurut Nurlinda, hadiah itu bagi membalas pengorbanan suaminya yang sanggup menjual motosikal kesayangan bagi menampung kos perbelanjaan majlis perkahwinan mereka pada 24 September, tahun lalu.
Dia berkeras menasihatkan Mohamad Firdaus supaya tidak menjual motosikal yang dijaga rapi, dibeli dengan wang gaji pertama beberapa tahun lalu, namun suaminya tetap berkeras agar majlis perkahwinan mereka sempurna.
“Bagaimana dia membuat saya menangis terharu, begitu juga saya nak balas balik pengorbanan yang dia sudah lakukan.
“Pengorbanannya begitu besar tambahan pula suami saya berjiwa motosikal namun dia memilih saya berbanding motosikal kesayangannya.
“Seronok sangat melihat dia pula menangis terharu apabila saya membuat kejutan membelikannya RXZ menggunakan wang simpanan saya,” katanya ketika dihubungi di Senggarang, Batu Pahat, hari ini.
Menurut Nurlinda, idea membuat kejutan itu tercetus selepas suaminya kerap bercerita mengenai minatnya terhadap motosikal itu, lalu membuat perancangan sejak Jun, apabila mendapat tahu ada kenalannya mahu menjual RXZ.
“Hari ulang tahun kami pada September dan tak sangka boleh dapat motosikal itu lebih awal. Saya pula tak sabar nak buat kejutan, jadi malam Rabu lalu, saya kumpulkan rakan-rakan untuk meraikannya.
“Pada saya, cukup sekadar melihat dia tersenyum tetapi lebih gembira melihat dia mengalirkan air mata terharu,” katanya yang memiliki kedai makan sendiri.
Nurlinda terkejut apabila kisahnya menghadiahkan RXZ kepada suami itu menjadi tular selepas kenalannya, Murtadha Maskan, memuat naik gambar di Facebook yang sudah dikongsi lebih 20,000 kali.
Katanya, perkara itu berlaku tidak sengaja dan tiada niat menunjuk-nunjuk malah berasa segan apabila ramai rakan mengusik.
Menurutnya, dia dan suami berkenalan Januari tahun lalu, apabila Mohamad Firdaus yang juga pelanggan tetap kedainya, memberi tunjuk ajar mengenai motosikal.
“Saya juga sukakan motosikal dan kebetulan mahu membeli motosikal. Ramai rakan-rakan mencadangkan merujuk kepada Firdaus kerana dia pakar dan memiliki bengkel sendiri,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.
Menurutnya, selepas berkawhin, mereka berkongsi motosikal 125Z milik Nurlinda dan Firdaus menunjukkan minat terhadap RXZ yang kini motosikal legenda dengan harga paling murah di pasaran lebih RM10,000.
Namun Nurlinda enggan memberitahu harga Yamaha RXZ yang dibelinya itu
Sumber: Harian Metro
Sumber Suami jual motor kesayangan untuk majlis kahwin, isteri hadiahkan RXZ sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan