“Sekurang-Kurangnya Saya Tak Nyanyi Sumbang” – Haqiem Rusli

PENYANYI baru yang semakin meningkat naik, Haqiem Rusli menjelaskan tindakan dia membalas semula komen netizen yang mengkritik nyanyiannya hanya untuk mempertahankan diri.

Pemilik nama Ridzuan Haqiem Rusli, 18, berkata dia tidak ada niat untuk berlagak sombong atau cuba tunjuk pandai seperti yang difikirkan mereka.

“Saya boleh terima sebarang kritikan daripada peminat. Tapi kalau komen atau kritikan tersebut seakan-akan ingin menjatuhkan, saya perlu pertahankan diri.

“Mestilah saya rasa sakit hati apabila kita dah lakukan yang terbaik tapi masih ada yang tidak berpuas hati.

“Tapi saya tidak mahu ambil perkara tersebut terlalu serius. Bagi saya, mereka kutuk dapat dosa dan saya dapat pahala,” kata Haqiem kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Haqiem mengakui dia tidak mampu untuk mencapai nada tinggi seperti dalam rakaman ketika menyampaikan lagu terbarunya Tergantung Sepi secara langsung di sebuah program baru-baru ini.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Segalahnya ini bukan mudah untuk dia membawa sesebuah lagu yang bernada tinggi secara langsung seperti yang disangkakan.

“Orang selalu ingat nyanyi lagu nada tinggi secara langsung itu mudah sahaja. Memang la dalam rakaman suara tak ada masalah sebab boleh buat berulang kali.

“Secara jujur, saya memang tak boleh nak capai nada tersebut sebab itu saya tukar melodi lain. Tapi yang penting, saya sudah lakukan dengan terbaik.

“Bukan nak cakap besar atau berlagak tapi sekurang-kurangnya saya tidak nyanyi sumbang,” ujarnya.

Peminat-peminat meluahkan rasa kecewa dengan nyanyian Haqiem ketika membuat persembahan secara langsung di program Twit Twit  menerusi video tayangan program tersebut telah dimuat naik di YouTube pada Jumaat lalu.

Rata-ratanya mempertikaikan suara Haqiem yang tidak boleh bernyanyi secara langsung. Malah, ada juga yang meminta bintang baru ini masuk ke kelas vokal.

Namun, Haqiem tidak mahu berdiam diri dan mengambil langkah untuk membalas semula kritikan tersebut.

“Kenapa tak tarik yang ori punya Tergantung Sepi?  Kenapa note tak sama, ok now cuba yang cakap ni naik atas pentas cuba try nyanyi. Lepas tak lepas?

“Saya tak tukar melodi, saya improvise kan note tu jadi sedap & lain utk keselesaan bila nyanyi. Kalau tarik yang ori keluar suara ayam lagi malu.

Be positive, bersihkan hati, cuba support. Ini nak menjatuhkan buat apa. I’m so sorry. But kecewa kita dah buat terbaik diorg ni hmm,” tulis Haqiem.

Sumber: MStar



Sumber “Sekurang-Kurangnya Saya Tak Nyanyi Sumbang” – Haqiem Rusli

Post a Comment

Previous Post Next Post