SEORANG ibu dari Kampung Desa Keda Malau, Kubang Pasu, merayu anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga selepas menghilangkan diri sejak Aidilfitri ketiga.
Faridah Ismail, 48, berkata kehilangan Nurul Suriani Daud, 22, disedari ketika adik iparnya yang hendak menjemput pulang anak saudaranya itu di tempat kerja di Bandar Darulaman.
Dia berkata, suaminya Daud Ahmad, 52, menghantar Nurul Suriani seperti biasa di butik menjual pakaian bayi, pada 9.30 pagi, pada anaknya itu dilaporkan hilang.
“Adik ipar saya pula akan jemput balik Nurul Suriani di tempat kerjanya pada kira-kira 9 malam. Tapi, Nurul Suriani tiada walaupun butik itu sudah ditutup.
“Kami jadi lebih risau apabila majikan memaklumkan Nurul Suriani, yang baru kerja kira-kira dua bulan lalu, tidak bekerja pada hari dia dikatakan hilang,” katanya ditemui di rumahnya, hari ini.
Menurutnya, anak ketiga daripada tujuh beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan ceria menyambut Aidilfitri.
Berikutan itu, katanya, satu laporan polis dibuat anaknya, Mohammad Saiful Bahari, 30, di Balai Polis Jitra, Khamis lalu.
“Ramai saudara dan rakan cuba mencarinya termasuk menghubungi kawan rapat anak saya tetapi masih gagal,” katanya yang mengaku keluarganya kini tertekan dengan kejadian itu.
Oleh itu, sesiapa yang mempunyai maklumat atau terlihat Nurul Suriani diminta hubungi bapanya di 011-35279766 atau balai polis berdekatan.
Sumber: Harian Metro
Sumber Semoga Nurul Suriani dilindungi Allah