Sekeping gambar didakwa ‘sosok hantu berwarna putih’ telah tular dan mencetuskan kekecohan di media sosial.
Kekalutan timbul apabila gambar yang dimuat naik di Facebook pada awal pagi Sabtu itu didakwa oleh netizen telah disunting atau diubah menggunakan aplikasi tertentu yang kini banyak disediakan di telefon pintar.
Tidak hanya netizen, terdapat juga beberapa individu yang mendakwa diri mereka pakar kamera dan suntingan telah tampil memberikan komen dari segi teknikal bagi membuktikan gambar asal tersebut telah diubah.
Akibatnya, wanita yang memuat naik gambar tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Tie telah teruk dikecam dan dihamburkan kata-kata fitnah oleh netizen.
Kak Tie ketika dihubungi mStar Online berkata gambar tersebut bukan diambil dengan telefon bimbitnya, sebaliknya diterima daripada Mohd Rozi Mohd Salleh, rakan kepada suaminya.
Bagaimanapun katanya, mereka sama-sama berada di tempat kejadian apabila anak Mohd Rozi datang menunjukkan gambar tersebut yang diambil dengan telefon bimbit bapanya.
“Masa tu lebih kurang pukul 1 pagi, memang naiklah bulu roma bila tengok gambar tu.
“Saya tak fikir langsung tentang ‘edit’, lagi pun saya dah 54 tahun manalah tahu edit-edit ni, bila tengok sendiri terus anggap gambar betullah, masa kejadian tak ada pun yang cakap pasal ‘edit’,” katanya.
Katanya, beliau tidak menyangka posting dan gambar itu yang kemudian dimuat naik di Facebooknya tular dan dirinya menjadi mangsa fitnah dan ‘serangan’ netizen.
“Terpulanglah apa orang nak kata, niat saya hanya nak kongsi.
“Tak terlintas langsung nak menipu atau sengaja nak bagi laris bisnes macam mereka tuduh di ruangan komen,” katanya.
Bagaimanapun katanya, jika benar gambar tersebut telah disunting, beliau memohon maaf kepada orang ramai kerana menyebarkan maklumat tidak betul.
“Jadi takut bila viral macam ni..rasa bersalah dengan orang ramai pun ada kalau gambar tu diedit,” katanya.
Paparan skrin posting yang dimuat naik di Facebook dan tular.
Sementara itu Mohd Rozi berkata selepas apa yang berlaku beliau juga keliru sama ada sosok putih itu benar-benar wujud atau diada-adakan.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa gambar tersebut diambil menggunakan telefon bimbitnya jenis Huawei.
“Bila anak saya datang tunjuk saya pun terkejut. Nak kata ‘edit’, saya bukan reti edit-edit ni, anak saya pun tak reti.
“Yang pasti, lepas semua kawan-kawan tengok gambar tu kami semua terus ‘bungkus’,” katanya.
Mohd Rozi berkata gambar itu ditunjukkan oleh anak perempuannya kira-kira pukul 12 tengah malam Jumaat ketika kumpulan rakannya yang mengadakan majlis reunion di Pantai Bersih, Butterworth sedang bersiap-siap untuk pulang.
“Bila orang kecoh cakap gambar tu ‘edit’ saya pun jadi tak pasti sebab memang gambar itu ambil guna telefon saya pada malam kejadian,” katanya.
Berdasarkan komen-komen netizen, mereka mengandaikan bahawa pemilik telefon bimbit ini tanpa disedari telah memilih tetapan atau aplikasi tertentu, menyebabkan beliau dan rakan-rakannya percaya bahawa gambar tersebut adalah gambar hantu sebenar.
Sumber: Mstar
Sumber Upload gambar kelibat hantu putih, ‘Kak Tie’ dikecam netizen, dituduh edit gambar dan difitnah