“Bersaralah bila sampai 60” – KPN

Khalid berterima kasih kepada media cetak dan elektronik yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepadanya. — Foto Bernama

Setiap penjawat awam perlu bersedia untuk bersara wajib apabila tiba masanya, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata waktu itu tiba apabila mereka mencapai usia 60 tahun.

“Apabila usia mencecah 60 tahun, itu adalah usia untuk bersara wajib daripada perkhidmatan.

“Jadi semua memang patut bersedia untuk pencen pada usia itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Khalid ditanya mengenai laporan yang menyatakan beliau akan melanjutkan tempoh perkhidmatannya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekalipun dijadualkan bersara wajib bulan depan.

Beliau sebelum ini mengesahkan akan bersara pada September.

Berpengalaman lebih 40 tahun dalam PDRM, Khalid menyertai pasukan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976 dan dilantik sebagai ketua polis negara pada 17 Mei 2013.

 

Ditanya mengenai perancangannya selepas bersara, Khalid berkata ketika ini beliau sedang mengikuti kelas memasak.

“Saya masuk kelas ini untuk kembangkan minat dalam bidang memasak. Setakat ini saya hanya pandai masak telur,” katanya dalam nada gurauan.

Mengenai lawatan kerjanya hari ini, Khalid berkata ia lawatan biasa yang dilakukan oleh pegawai kanan polis yang akan bersara termasuk ketua polis negara.

“Saya tidak dapat lawat semua kontinjen, jadi saya lawat kontinjen yang saya pernah berkhidmat. Macam Negeri Sembilan saya pernah berkhidmat sebagai ketua polis negeri, saya juga berasal dari Negeri Sembilan.

“Selepas ini, saya akan lawat kontinjen Kedah kerana di situ juga saya pernah berkhidmat sebagai ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut berterima kasih kepada media cetak dan elektronik yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepadanya.

“Terima kasih kepada pihak media termasuk media elektronik yang sentiasa sokong saya.

“Walaupun ada sesetengah media elektronik yang kerap mengkritik saya, tetapi saya anggap itu sebagai cabaran,” katanya.

Khalid juga mengingatkan pihak media agar sentiasa melaporkan berita berdasarkan fakta dan bukan berlandaskan andaian serta ulasan sendiri. — Bernama

Sumber: Projek MMO



Sumber “Bersaralah bila sampai 60” – KPN

Post a Comment

Previous Post Next Post