CHEF selebriti terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan akan masuk ke penjara tidak lama lagi.
Pengakuan itu ditulis sendiri Chef Wan di dalam akaun Instagramnya.
“Pagi ini saya menerima tawaran daripada produser eksekutif Discovery Travel and Living yang menjemput saya menjadi hos mereka untuk program terbaharu mereka.
“Mereka mahu saya melawat empat buah penjara yang terkenal di Asia dan memasak dari dapur penjara. Bukan hanya masak, tetapi saya perlu menyelami kehidupan penghuni ini,” katanya.
Mengakui ia tawaran itu menarik namun ia sedikit menakutkannya.
“Saya ada katakan pada mereka, sebelum ini saya pernah bekerja BBC 2 Talkshow bersama Misal Hussein dan berharap keselamatan saya dijaga dengan baik.
“Dalam setiap masakan saya itu nanti, tidak boleh ada terung atau timun. Ia benar-benar cabaran untuk saya,” tulisnya yang menerima tawaran tersebut.
Menganggap ia cabaran baharu buatnya, Chef Wan berkata rancangan itu nanti akan ditonton oleh jutaan penonton di seluruh dunia.
“Bukan mudah nak dapat tawaran begini,” katanya.
Chef Wan sememangnya seorang selebriti chef yang bukan hanya popular di Malaysia malah namanya dikenali di Asia hingga beberapa buah negara Eropah.
Beliau sering diundang menjadi juri pertandingan masakan, personaliti untuk rancangan antarabangsa.
Sumber: Sinar Harian
Sumber Chef Wan dapat tawaran memasak di 4 penjara terkenal Asia