Dewan Rakyat luluskan RUU Pencegahan Jenayah awal pagi ini

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 diluluskan Dewan Rakyat awal hari ini.

RUU itu diluluskan pada pukul 4.05 pagi menerusi undian suara selepas dibacakan kali yang ketiga oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan disokong oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique.

Terdahulu semasa menggulung perbahasan RUU itu, Nur Jazlan berkata pindaan terhadap RUU itu bertujuan mempercepatkan proses membuat keputusan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah dalam sesuatu kes selain memudahkan pengurusan berkaitan tugas lembaga itu.

Katanya dengan pindaan itu, lembaga diberikan kuasa untuk mendesak pegawai penyiasat sesuatu kes mempercepatkan penyediaan laporannya untuk tindakan selanjutnya.

"Pada masa sekarang, undang-undang sedia memberikan pegawai penyiasat itu tempoh sehingga maksimum 38 hari untuk menyediakan laporan, tetapi dengan pindaan ini lembaga boleh mendesak pegawai itu mempercepatkan penyediaan laporan," katanya.

Semasa membentangkan RUU itu pula, Nur Jazlan berkata ia mengandungi 16 fasal yang mengandungi beberapa cadangan antaranya supaya perbuatan merosakkan dan menghilangkan peranti pemantauan elektronik (EMD) dijadikan kesalahan.

Katanya, RUU itu turut mencadangkan supaya perbuatan merosakkan dan menghilangkan apa-apa peranti lain yang digunakan berhubung pengendalian EMD menjadi kesalahan.

"Pindaan juga bertujuan memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara ke atas seseorang yang gagal membayar kerugian atau kehilangan EMD dan apa-apa peranti lain yang digunakan berhubung pengendaliannya.

"Pindaan juga mencadangkan supaya anggota Lembaga Pencegahan Jenayah boleh dilantik semula bagi apa-apa tempoh," katanya.

Persidangan dewan bersambung semula pukul 10 pagi ini.

-- BERNAMA



Sumber Dewan Rakyat luluskan RUU Pencegahan Jenayah awal pagi ini

Post a Comment

Previous Post Next Post