Hail atau nama sebenarnya Abdul Hair Amir, 62, mengakui apa yang dikecapinya itu adalah di luar dugaan kerana hasratnya untuk menceburi bidang seni bukanlah kerana ingin mengejar kemasyhuran, tetapi lebih kepada minat dalam bidang seni.
Sebelum bergelar artis popular, Hail yang berasal dari Kebun Lama, Pulau Pinang ini terlebih dahulu aktif dalam persatuan belia di kampung halamannya di mana dia dan rakan-rakannya didedahkan dengan pelbagai aktiviti seni.
“Ketika saya di usia remaja sekitar tahun 1960an, saya sangat aktif menyertai pelbagai aktiviti seni yang diadakan dalam persatuan di kampung seperti menyanyi, berlakon, menari dan tidak ketinggalan turut menyertai kumpulan boria,” jelasnya.
Penghijrahan Hail Ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1971 ternyata memberi lebih ruang kepadanya untuk mengembangkan bakatnya apabila ditawarkan untuk menyertai kelab budaya di Kementerian Belia dan Sukan.
Bersama kelab budaya Hail berpeluang untuk membuat persembahan di serata tempat di tanah air selain ke luar negara seperti Kuwait, London, Jepun dan lain-lain.
“Inilah yang dikatakan rezeki, daripada seorang budak kampung yang tidak tahu apa-apa, saya mendapat peluang membuat persembahan di serata tempat, malah merasa juga pergi ke negara orang menerusi penglibatan dalam bidang seni ini,” ujarnya yang turut berkemahiran bermain alat muzik terutamanya gitar.
Perjalanan seni Hail sebagai artis komersial bermula apabila dia didatangi wakil dari produksi Show Brothers memberikan tawarannya untuk berlakon sebagai watak utama dalam filem Jiwa Remaja bergandingan dengan Uji Rashid sekitar tahun 1975.
“Jiwa Remaja merupakan filem pertama lakonan saya dan apa yang mengejutkan filem itu telah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton sehingga mendapat kutipan yang cukup tinggi ketika itu.
“Selepas kejayaan itulah, kerjaya saya dalam bidang lakonan mula berkembang apabila terus diberikan tawaran untuk membintangi filem demi filem,” katanya turut membintangi filem muzikal Cinta dan Lagu.
Hail tidak menunggu lama untuk turut mencipta nama dalam bidang nyanyian apabila pada tahun yang sama, dia juga mendapat tawaran untuk bergelar artis rakaman.
“Pada tahun yang sama ditawarkan jadi pelakon, saya dipanggil ke sesi uji bakat oleh komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab dan selepas itu saya terus merakamkan.
“Alhamdulillah dalam EP yang menjadi pengenalan saya itu, lagu Wajah Kesayangan Hamba menjadi hits dan mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila bergelar juara selama tiga bulan dalam carta lagu LPMI,” imbasnya.
Tidak sekadar tampil dengan album solo, Hail turut dikenali menerusi lagu-lagu duetnya bersama Uji Rashid yang dianggap peminat sebagai pasangannya yang cukup serasi. Malah lagu raya yang menyaksikan duetnya bersama Uji menjadi malar segar meski sudah lebih 40 tahun berlalu.
Berkongsi cabaran yang dilaluinya ketika itu, kata Hail, ia lebih kepada usaha keras yang dilakukan untuk memajukan diri dalam bidang seni.
“Cabaran paling besar ketika itu adalah untuk menjadi yang terbaik kerana apabila kerja kita bagus, orang akan datang cari kita dan menawarkan pelbagai peluang baru.
“Kami artis-artis ketika itu tidak fikirkan mahu menang dalam persaingan sesama kami, tetapi lebih kepada usaha nak majukan diri dengan kerja keras untuk jadi lebih bagus,” tegasnya.
Populariti serentak yang dikecapinya dalam bidang lakonan dan nyanyian menjadikan Hail sebagai seorang artis lelaki yang menjadi buruan ketika itu di mana hampir semua majalah hiburan utama menjadikan wajahnya sebagai penghias muka.
“Jujurnya saya tidak pernah bermimpi untuk melalui perkara seperti itu, namun itulah yang telah ditakdirkan menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.
“Memang seronok dan rasa cukup dihargai ketika itu kerana kita menjadi perhatian di mana-mana kerana kejayaan yang kita peroleh dari kerja seni yang dilakukan.
“Banyak sekali pengalaman yang saya kumpul dan ia menjadi sesuatu yang akan saya kenang sampai bila-bila,” akuinya.
Menurut Hail lagi, paling tidak dapat dilupakan adalah sokongan yang diberikan oleh para peminatnya ketika itu yang disifatkan sangat luar biasa.
“Setiap minggu saya didatangi dengan berguni-guni surat yang menyatakan sokongan mereka kepada saya dan saya anggap ia sebagai suatu yang cukup manis untuk dikenang.
“Namun saya juga terasa agak ralat kerana ketika itu saya tidak dapat membalas kesemua surat tersebut, malah ada di antaranya yang langsung tidak dibuka kerana jumlahnya terlalu banyak sedangkan masa saya agak terhad kerana sering berkejaran dengan jadual kerja yang padat,” akuinya kesal.
Biarpun masa berlalu, Hail yang kini mempunyai empat orang anak dan lima cucu ini tidak berhasrat meninggalkan dunia seni terutamanya nyanyian yang telah menjadi darah dagingnya.
“Selagi masih sihat, insya-ALLAH saya akan terus menyanyi seperti biasa walaupun tidak serancak dulu.
“Minat dalam kerjaya seni ini sudah kekal dalam diri dan sukar untuk dibuang meskipun kita sudah melalui macam-macam perkara,” kata Hail yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya ini.
Sumber Digilai peminat wanita, Hail Amir terima berguni surat