Bukan tidak pernah berganding dengan pelakon bertaraf antarabangsa sebelum ini tetapi Celina berasakan aura yang berbeza kali ini.
Katanya, dia agak gementar kerana tiga filem dibintangi Grillo sebelum ini, Captain America: Civil War, Captain America: Winter Soldier dan The Purge adalah karya yang tersenarai dalam pecah panggung.
Menurutnya, cara lakonan Grillo juga berbeza kerana pengalamannya bekerja dengan produksi dan pengarah Hollywood.
“Bekerja dengan produksi tempatan dan luar negara sangat berbeza. Dari segi komitmen itu tidak ada beza kerana semuanya memberikan tumpuan dan tenaga 100 peratus pada penggambaran.
“Namun dari segi teknikal, perbezaan itu memang sangat ketara. Saya juga dapat rasa dan melihat sendiri cara Frank bekerja. Dalam setiap babak, dia sudah tahu sisi terbaik padamata jurukamera.
“Setiap kali kami melakonkan kembali babak sama, Frank akan memberi aura berbeza dan pengarah akan memilih ‘take’ terbaik. Dia boleh melakonkan watak itu dengan cara pelbagai,” katanya.
Wolf Warriors 2 arahan Wu Jing dan turut dibintangi Wu Jing dan Hans Zhang, adalah sekuel dari filem dihasilkan pada 2015. Ia dijangka ditayangkan di China bulan depan.
Dalam debaran berganding dengan Grillo, Celina tidak dapat menyembunyikan keterujaannya. Peluang itu bukan hanya umpama penanda aras baru dalam kerjayanya tetapi juga dapat menimba ilmu dari aktor itu.
Walaupun pernah menimba pengalaman bekerja dengan produksi Hollywood sebelum ini seperti siri Arrow dari 2013 sehingga 2016, Celina akui masih banyak impiannya yang ingin dipenuhi.
Katanya, dia tidak mahu ia terhenti setakat itu dan berhasrat untuk mencari peluang membintangi filem dengan skala besar di Hollywood.
“Saya ingin mencipta nama sebagai pelakon antarabangsa. Saya tahu filem-filem Cina yang saya lakonkan semuanya turut dipasarkan di seluruh dunia tetapi secara peribadi, situasi itu belum menjadikan saya sebagai pelakon antarabangsa kelas A.
“Angan-angan itu terlalu tinggi dan saya akui agak sukar untuk dicapai. Bagaimanapun, saya berusaha sebaik mungkin agar dapat memenuhi impian itu. Saya tidak boleh terus berada di zon selesa.
“Oleh itu kerjasama dengan Frank adalah peluang terbaik saya untuk mengetahui lebih banyak mengenai produksi di Hollywood. Saya juga meminta nasihat dan tunjuk ajar cara mencari peluang mencipta nama di sana,” katanya.
Apapun, Celina menafikan dia mempergunakan Grillo untuk mendapatkan watak dalam mana-mana filem di Hollywood. Katanya, dia sekadar ingin tahu cara pelakon di sana bekerja.
“Andai peluang membina tapak di Hollywood berjaya, saya tidak kisah walaupun sekadar memegang watak kecil. Orang baru pasti saja akan diberikan tempoh percubaan sebelum diberikan watak yang lebih mencabar.
“Saya sememangnya mengimpikan untuk menjadi pelakon terkenal di Hollywood tetapi angan-angan itu tidaklah terlalu besar hinggakan terus memegang watak utama.
“Kalau ada peluang untuk berlakon dalam mana-mana filem diterbitkan produksi terkenal di Hollywood, saya akan terima walaupun hanya sekadar watak kecil.
“Dari watak kecil itulah mereka akan menilai saya. Setiap tawaran yang datang itu tidak boleh dipandang sebelah mata. Ini bukan hanya dalam mengejar impian untuk ke Hollywood tetapi juga untuk produksi tempatan,” katanya.
Celina juga sedar mana-mana pelakon yang baru mula bertapak harus bersyukur dan berterima kasih kerana peluang masih diberikan walaupun belum menunjukkan prestasi cemerlang.
Katanya, sudah menjadi tugas pelakon untuk memberikan yang terbaik dan lebih dari apa yang dijangkakan.
“Pelakon yang menceburi seni atas dasar minat akan meletakkan soal bayaran antara yang berada di bawah,” katanya.
Bagaimanapun, hakikat sebenar bagi pelakon muda adalah berlainan dan Celina enggan bercakap lebih banyak mengenai isu itu.
Katanya, dia dapati ramai pelakon muda yang mengatakan mereka masuk dalam industri kerana jiwa dan minat tetapi mula merungut apabila bayaran diterima tidak seperti yang mereka bayangkan.
“Mereka mula memberi alasan lakonan adalah sumber rezeki, bayaran tidak setimpal dengan penat lelah dan sebagainya. Apa pun, itu adalah hak mereka. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut,” katanya.
Sumber Gementar namun teruja