Rahim pecah.
Mereka yang tidak bertanggungjawab yang menggalakkan ibu hamil yang pernah menjalani pembedahan Caesar supaya bersalin di rumah untuk kelahiran VBAC (Vaginal Birth After Caesarean Section), tidak pernah melihat kejadian rahim pecah (uterine rupture) ini.
Ini lah akibat ngeri yang menimpa 4 dalam 1000 ibu hamil yang memilih kelahiran VBAC. Kami sangat-sangat menggalakkan kelahiran VBAC bagi ibu dan janin yang tidak ada masalah yang rumit, tetapi dengan cara yang selamat di hospital bersalin.
Walaupun kebanyakan ibu dan bayi ini selamat dilahirkan secara normal, mereka dipantau dengan teliti oleh pakar dan pegawai perubatan. Jika rahim pecah, pendarahannya sangat serious dan boleh menyebabkan kematian ibu dan janin sekiranya tidak ada perkhidmatan transfusi darah dengan segera dan pembedahan yang serta-merta untuk menyelamatkan janin dan menghentikan pendarahan ibu.
Sudah 19 tahun saya berpengalaman di bilik bersalin, dan dalam masa ini, saya sudah melihat kejadian ini lebih kurang dua kali setahun. Alhamdullilah setakat ini, dengan pembedahan yang segera, transfusi darah dan bantuan pernafasan kepada bayi yang serta-merta, semua ibu dan bayi yang saya telah bantu semuanya selamat kerana kejadian ini berlaku di hospital, di mana ibu dan janin sempat menerima bantuan kecemasan. Dengan izin Tuhan, mereka boleh diselamatkan tetapi kita mestilah berikhtiar.
Malangnya bagi ibu yang di dalam gambar ini, kejadian ini berlaku di rumah dan beliau meninggal dunia kerana terlambat menerima bantuan yang serta-merta.
Dengar lah nasihat pakar. Kami berpengalaman. Kami tahu apa nak buat bila ada kecemasan. Untuk kelahiran VBAC, hanya di hospital bersalin lah anda akan mendapat sokongan yang sepenuhnya. Bukannya kelahiran di rumah. Sesiapa yang menggalakkan kelahiran VBAC di rumah tidak pernah tengok kejadian ini dan tidak ada pengalaman yang cukup untuk menasihatkan anda. Ini dua nyawa, bukan satu nyawa. Kami hargai nyawa anda dan nyawa bayi anda.
Prof Dr Imelda,
Pakar Perunding Maternal dan Fetal Medicine,
Pusat Perubatan Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.
Gambar ini daripada “Pregnancy-Related Death and the Autopsy Examination”. Cynthia Schandl, MD, PhD, of Medical University of South Carolina.
Sumber Gambar: Rahim pecah! Ini semua bahana mereka yang tidak bertanggungjawab, suruh ibu yang pernah beranak ceaser supaya beranak secara normal di rumah, inilah akibatnya!