Pemimpin atasan PAS dinasihat tidak menjaja cerita kepada anggota bawahan kononnya presiden mereka sudah memenangi perbicaraan saman ke atas portal Sarawak Report.
Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, menjelaskan sebenarnya perjalanan perbicaraan itu masih jauh dan apa yang berlaku semalam masih di peringkat sangat awal.
Kata Hanipa sebenarnya perbicaraan belum pun bermula dan PAS tidak memenangi perbicaraan penuh, sebaliknya ia masih di peringkat pengurusan kes.
“(Sebenarnya) permohonan Sarawak Report untuk meminta PAS membayar apa yang dipanggil security for cost ditolak mahkamah dan seperti yang diduga portal itu diperintah untuk membayar kos kepada parti suci sebanyak sebanyak £15,000 (RM83,719).
“Saya harap parti suci tidaklah menjual (cerita) pada orang kampung di bawah yang ia sudah menang bicara. Belum lagi…” katanya hari ini.
Itu hal lumrah
“Parti suci” yang digunakan Hanipa istilah sinis yang merujuk kepada PAS.
Hanipa yang pernah menjadi pengerusi biro undang-undang PAS menulis begitu sebagai mengulas “perkembangan positif” saman Abdul Hadi ke atas editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menjelaskan Clare diperintah mahkamah London untuk membayar presiden PAS itu sekurang-kurangnya £15,000.
Mahkamah pada 2 Ogos lalu dilaporkan memihak kepada Abdul Hadi selepas Clare meminta deposit wang sebagai jaminan keselamatan, sekiranya presiden PAS itu kalah dalam kes berkenaan.
Ahmad Shamsuri berkata mahkamah juga telah menerima tawaran Abdul Hadi untuk membayar RM80,000 sebagai deposit keselamatan.
Kata Hanipa (gambar) apabila membaca laporan disiarkan Malaysiakini semalam beliau bercadang mahu menulis ucapan tahniah kepada PAS kerana menang dalam saman berkenaan.
Kita saja nampak besar
Bagaimanapun, selepas membaca kandungan penuh berita itu, kata Hanipa, apa yang difikirkan pada awalnya berbeza daripada keadaan sebenar.
Kata Hanipa memang menjadi lumrah dalam kes saman sivil pihak seperti Sarawak Report memohon pihak luar dari United Kingdom (UK) membuat bayaran jaminan.
Menurutnya keadaan sama juga berlaku di Malaysia jika peguam di sini mewakili pelanggan tempatan menyaman pihak luar negara yang tidak tertakluk kepada perundangan di sini.
“Asas security of cost yang didepositkan di mahkamah adalah pihak seperti Sarawak Report ingin memastikan jika pihak luar kalah dalam perbicaraan dan diperintah membayar kos, ia masih terjamin walaupun arahan itu diingkari,” katanya.
Dalam undang-undang juga, kata Hanipa, ada frasa cost follows the event bermaksud pihak yang kalah perlu membayar kos kepada pihak yg menang.
“Oleh kerana Sarawak Reportkalah dalam permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya parti suci membayar security for cost, maka mereka kena bayar kos permohonan itu seperti yang dilaporkan. Itu biasa.. tiada yang luar biasa,” katanya.
Hanipa juga menyatakan dalam konteks UK, nilai £15,000 itu tidaklah dianggap begitu besar tetapi keadaan menjadi sebaliknya jika ditukarkan kepada mata wang Malaysia.
“Memanglah nampak besar sebab mata wang kita kecil dan lemah!” katanya.
Sumber: MK
Sumber Hadi belum menang lagi, perbicaraan masih di peringkat pengurusan kes