Isteri orang tengah lalok ditangkap khalwat dengan lelaki lain

Seorang wanita yang masih berstatus isteri ditangkap bersekedudukan bersama lelaki lain ketika lalok dadah menerusi Ops Cegah oleh sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut di sebuah rumah sewa di Kampung Alor Lintang dekat sini.

Pasangan kekasih lalok dicekup

Ketua Pegawai AADK Besut, Normayati Mat Nawi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan sembilan anggota AADK diketuai beliau telah menyerbu sebuah rumah sewa wanita berusia 31 tahun pada jam 4.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah tersebut mendapati terdapat seorang wanita berseluar pendek berhampiran pintu manakala seorang lelaki berusia 34 tahun berada di dalam sebuah bilik.

Katanya, wanita itu mengaku menjalinkan  hubungan dengan lelaki tersebut dan kekasihnya itu  membayar sewa rumah tersebut selama ketiadaan suami wanita berkenaan yang sebelum ini ditahan di Pusat Pemulihan, Penjagaan dan Rawatan (CCRC).

“Tapi suami wanita berkenaan yang dibebaskan dari pusat berkenaan sebulan lalu telah ditangkap pula oleh Polis Pasir Putih, Kelantan baru-baru ini dan selepas dibicarakan dijatuhkan hukuman penjara juga atas kesalahan dadah,” katanya.

Normayati memberitahu, selepas menyerbu rumah tersebut, pihaknya kemudian menjalankan saringan air kencing terhadap pasangan tersebut dan mendapati kedua mereka positif dadah.

“Wanita berkenaan turut mengaku mengambil dadah jenis pil kuda dan morfin pada malam serbuan dilakukan.

“Wanita itu dipercayai menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut semata-mata mahu mendapatkan bekalan dadah daripada lelaki itu di samping menyaranya,” katanya.

Kata beliau, wanita berkenaan mempunyai tiga anak berusia 4, 8 dan 12 tahun hasil perkahwinan dengan suaminya namun kesemua anaknya berada di bawah jagaan ibu perempuan itu.

Menurutnya lagi, pada tahun lalu wanita itu pernah ditahan bersama suaminya tetapi saringan air kencing mendapati hanya suaminya positif dadah menyebabkan suaminya ditahan di pusat serenti sebelum dibebaskan sebulan lalu.

Susulan serbuan tersebut, wanita tersebut dimasukkan ke Pusat Penjagaan dan Pemulihan Bachok, Kelantan atas kerelaannya sendiri.

Manakala pasangannya direman di bawah Seksyen 3 Akta Penagihan Dadah  (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bersama dengan lima lelaki yang ditangkap di lokasi berasingan membabitkan Kampung Bukit Tanah, Apal dan Padang Luas dalam operasi sama pagi itu.

 

Sumber: Sinar



Sumber Isteri orang tengah lalok ditangkap khalwat dengan lelaki lain

Post a Comment

Previous Post Next Post