Jawapan ‘win’ mufti bila ditanya kenapa Perlis tidak ikut mazhab Syafie

Polemik sama ada paha lelaki adalah aurat atau tidak memasuki ‘fasa baru’ apabila Mufti Perlis – secara berjenaka dan bersahaja – menjelaskan isu itu dengan mengaitkannya dengan perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA malam ini.

Menurut Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ada orang bertanya kepadanya mengapa umat Islam di Perlis tidak mengikut mazhab Syafie.

Keadaan di Perlis memang diketahui sedikit berbeza berbanding negeri lain di Malaysia yang jelas menyatakan secara umum umat Islamnya berpegang dengan ajaran Imam Syafie.

Kata Mohd Asri sebenarnya orang Islam di Perlis bukanlah tidak berpegang dengan ajaran salah seorang imam besar terbabit.

“Perlis tidak antimazhab Syafie (sebaliknya) cuma tidak terikat (dengan mazhab itu),” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Menjelaskan maksud itu dengan lebih lanjut secara bercerita Mohd Asri menambah orang yang bertanya itu tidak bersetuju dengan pendapat berkenaan.

Ada yang tak ikut

Kata individu terbabit orang Malaysia perlu ada semangat Malaysia. Justeru semua orang Islam wajar mengikut mazhab Syafie kerana ia adalah pegangan orang ramai.

“Saya tanya: malam ini, bola sokong Malaysia tak?

“Dia jawab: Mestilah! Kita kena tunjuk semangat Malaysia.

“Dia bersemangat. Saya tanya lagi: agak-agak ramai ke menonton malam ini? Jawab dia: mestilah. Kalau tidak semua rakyat pun, majoriti rakyat akan tonton,” cerita Mohd Asri lagi.

Justeru mufti yang terkenal dengan beberapa pemikiran baru dan bercanggah dengan majoriti mufti lain di Malaysia itu menambah, malam ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysua bukan bermazhab Syafie, atau tidak terikat dengan aliran pemikiran itu.

Terkejut dengan jawapan berkenaan, orang yang bertanya itu menambah: Apa kaitan mazhab Syafie dengan bola sepak?

“Jawab saya: dalam Mazhab Syafie paha lelaki adalah aurat.

“Dia diam, kemudian menambah: yalah, ada juga yang kita tak ikut.

“Saya kata: oh, macam Perlislah?” kata Mohd Asri.

Persoalan sama ada paha lelaki adalah aurat atau tidak adalah antara isu terkini yang meletakkan Mohd Asri dan beberapa pendakwah lain dalam polemik.

Secara umum orang Islam di Malaysia berpegang bahawa paha adalah aurat dan haram ditayangkan kepada umum. Antara lain kerana anggota itu jelas berada di antara pusat dan lulut yang dinyatakan Nabi Muhammad SAW sebagai aurat.

Bagaimanapun sebahagian ilmuan – terutama dalam bidang hadis – menjelaskan ada ulama silam berpandangan paha tidak semestinya aurat dan bergantung kepada keadaan tertentu.

Malaysia akan cuba memperoleh pingat emas Sukan SEA dengan mencabar penyandang, Thailand, di Stadium Shah Alam, Selangor mulai jam 8.45 malam ini.

 

Sumber: MK



Sumber Jawapan ‘win’ mufti bila ditanya kenapa Perlis tidak ikut mazhab Syafie

Post a Comment

Previous Post Next Post