BERTUAH sungguh pasangan bahagia, pelawak Lan Pet Pet dan isterinya, Ruby Che Wan.
Bukan sahaja mereka dapat menunaikan ibadah haji bersama-sama tahun ini, malah tarikh mereka menyempurnakan rukun Islam kelima itu kebetulan sama dengan ulang tahun perkahwinan mereka yang kesembilan!
Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad memberitahu berita gembira itu menerusi gambar terbaharu yang dimuat naik di akaun Instagramnya semalam.
“Alhamdulillah. Ini hadiah dari Allah mendapat panggilan Haji pada hari ulang tahun perkahwinan kami. Hari ni kami berangkat ke Tanah Suci menunaikan Haji 2017.
“Dikesempatan ini, saya bersama isteri memohon AMPUN dan MAAF sekiranya ada keterlanjuran dan kekhilafan melalui perbuatan mahupun lisan yang pernah kami lakukan selama anda mengenali kami.
“Mohon doakan kami selamat pergi dan balik, dikurniakan kesihatan yang sempurna dan kekuatan rohani dan jasmani sepanjang menunaikan segala ibadah dan ziarah dan memperoleh Haji mabrur serta Redha Allah SWT.
“Insya Allah kami akan doakan kesejahteraan dan kebaikan untuk seluruh umat Islam sedunia. Semoga Allah menjemput anda yang belum menunaikan Haji pada tahun akan datang insya Allah. Labaikallah,” tulisnya.
Dalam pada itu, isterinya yang merupakan adik aktres Rozita Che Wan, Rubytah Abu Bakar @ Che Wan turut berkongsi foto terbaharu mereka di tanah suci beberapa jam lalu.
“Alhamdulillah selesai Umrah pertama kami. Syukur Allah mudahkan segala urusan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kami. Semua kemudahan Allah beri atas doa anda semua,” tulisnya ringkas.
Lan dan Ruby telah mendirikan rumah tangga pada 20 Ogos 2008.
Sumber: MYNEWSHUB.CC
Sumber Lan Pet Pet Tunai Haji Sambil Sambut ‘Anniversary’