Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua minggu kerana mencuri RM20 dari tabung masjid untuk membeli makanan.
Othman Ahmad, 47, mengaku berbuat demikian kira-kira jam 10 malam di Masjid al-Khairiah, Ayer Molek di sini pada 20 Julai lalu, lapor Kosmo!.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan
Namun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Noorhabibah Mohamed Noor memohon hukuman diringankan kerana tertuduh terdesak untuk membeli makanan.
“Tertuduh membuat kerja-kerja kampung sebelum ini tetapi difahamkan dia tidak dibayar upah selain sering ditipu,” katanya.
Majistret Mohd Firdaus Saleh semalam mengarahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan pada 27 Julai lalu.
Sumber: Projek MMO
Sumber Lelaki lapar terpaksa curi RM20 di masjid dipenjara 14 hari