Pak gad nepal kurang ajar pukul budak dengan cota sampai pecah kepala di pangsapuri di USJ 1 gara-gara main bola

“Anak saya dicekik dan dipukul pengawal keselamatan itu menggunakan cota hingga pecah kepala hanya kerana dilarang bermain bola di kawasan pangsapuri,” kata ibu tunggal, Akmalun Nisa Yunus, 48, berhubung kejadian menimpa anaknya, Muhammad Wafiq Muhammad Zaidi, 16.

Dalam kejadian jam 5.30 petang Khamis lalu, mangsa cedera teruk dipukul lelaki warga Nepal di pangsapuri didiami di USJ 1, di sini.

Kejadian menyebabkan Wafiq cedera di kepala, tangan dan badan akibat dibelasah pengawal keselamatan terbabit yang bertugas di pangsapuri itu.

Akmalun berkata, kejadian berlaku sewaktu anak ketiganya itu bermain bola bersama tujuh rakan lain di kawasan lapang di bawah pangsapuri itu.

Katanya, pengawal terbabit secara tiba-tiba datang dan melarang mereka bermain bola.

“Dia (pengawal keselamatan) cuba merampas bola, tetapi anak saya dan rakannya enggan memberikan bola itu.

“Pengawal terbabit terus menerkam anak saya dan dia memegang leher serta memukul Wafiq menggunakan cota.

“Susulan itu, rakan anak saya cuba meleraikan keadaan, tetapi suspek bertindak memukul mereka sebelum melarikan diri masuk ke dalam pondok pengawal,” katanya ketika di temui semalam.

Menurutnya, Wafiq menerima enam jahitan serta cedera di tangan dan badan manakala seorang daripada rakannya berusia 17 tahun cedera ringan di kepala.

“Wafiq terpaksa dirawat di Hospital Shah Alam sebelum membuat laporan di Balai Polis USJ 8 pada jam 10 malam.

“Bagaimanapun pengawal keselamatan terbabit didapati sudah melarikan diri. Kami turut memaklumkan kejadian kepada pihak pengurusan syarikat pengawal keselamatan berkenaan.

“Difahamkan suspek baru tiga hari bertugas di pangsapuri berkenaan dan gagal dikesan pihak pengurusan syarikat terbabit,” katanya.

Dia yang sudah lebih 10 tahun tinggal di pangsapuri terbabit berkata, anaknya bersama rakan sebelum ini pernah meminta kebenaran pihak pengurusan perumahan berkenaan untuk mereka bermain bola.

“Pengurusan perumahan tidak menghalang mereka dan pengawal keselamatan yang bertugas sebelum ini juga tidak melarang.

“Saya tidak tahu kenapa suspek secara tiba-tiba menghalang mereka bermain bola dan sanggup bertindak agresif terhadap remaja bawah umur.

“Saya harap pihak polis dapat mengesan suspek dan mengenakan tindakan undang-undang sewajarnya atas tindakannya itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan suspek.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Pak gad nepal kurang ajar pukul budak dengan cota sampai pecah kepala di pangsapuri di USJ 1 gara-gara main bola

Post a Comment

Previous Post Next Post