Pelajar laung azan sekuat hati sebagai ikhtiar padamkan api

Sekumpulan pelajar tahfiz hanya mampu melaungkan azan setelah api makin marak yang menghanguskan bangunan tempat mereka tidur pagi ini.

Aras tiga sekolah tahfiz di Teluk Teduri, Baling yang hangus dalam kebakaran awal pagi 6 Ogos 2017. — Foto ihsan Facebook/Mohd Rizal Md Salleh

Lapan pelajar gagal memadamkan api besar itu yang bermula di aras paling atas bangunan tiga tingkat di sebuah sekolah tahfiz di sini, lapor Berita Harian.

“Kami hanya mampu laungkan azan sekuat hati, sebagai ikhtiar selepas usaha kami untuk padamkan api gagal,” kata pelajar Mohd Hazwan Mohd Azhar, 16.

Kebakaran di maahad tahfiz di Kampung Tengah Titi Telok Teduri berlaku menjelang pukul 2 pagi tadi ketika semua pelajar sedang nyenyak.

Mereka yang tidur di tingkat dua bangunan dilaporkan dikejutkan bunyi bising letupan dan objek terjatuh dari tingkat atas.

“Dalam keadaan panik, saya terus menjerit ‘api’ dan mengejutkan rakan lain, sebelum kami cuba padamkan api tetapi tidak berdaya,” kata Mohd Hazwan lagi.

Bomba berkata kira-kira 25 peratus aras tingkat itu rosak akibat terbakar, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Aras paling atas maahad itu menempatkan bilik stor dan dewan, sementara aras dua digunakan sebagai ruang tidur. Buku, al-Quran dan pakaian disimpan di tingkat bawah.

 

Sumber: Projek MMO



Sumber Pelajar laung azan sekuat hati sebagai ikhtiar padamkan api

Post a Comment

Previous Post Next Post