Itu antara 23 kod etika ibu bapa dan penjaga yang disyorkan kepada Kementerian Pendidikan supaya diselaraskan di semua institusi pendidikan di Malaysia, hasil perbincangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
Kata Pengerusi NUTP, Kamarozaman Abd Razak, syor tersebut dibuat bagi memelihara keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan ibu bapa, penjaga, guru dan warga sekolah seluruhnya.
"Selama ini mungkin tidak jelas walaupun diterangkan secara lisan, jadi kami cadang supaya ada hitam putih," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat di ibu pejabat NUTP di sini, hari ini.
Antara lain yang turut digariskan adalah larangan menyalahguna media sosial serta menghantar mesej berbaur ancaman di emel, mel suara, teks, telefon atau lain-lain komunikasi bertulis.
"Kita pun tidak mempertahankan guru atau pendidik yang tak ikut peraturan, contohnya memukul atau merotan murid secara melampau dan tidak mengajar."Kalau ada apa-apa, paling kurang hubungilah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebelum buat laporan polis, kerana ia akan memberi kesan kepada banyak pihak terutamanya kehidupan guru dan murid yang terlibat itu sendiri."
Kod etika itu merangkumi 15 peratuan yang perlu dipatuhi serta lapan perkara yang perlu dihindari oleh ibu bapa, penjaga dan guru.
Cadangan kod etika yang dipersetujui bersama itu akan diajukan kepada Kementerian Pendidikan yang akan memanggil mereka untuk satu pertemuan dalam masa terdekat, dikatakan Januari ini.
Pada masa sama, NUTP juga mencadangkan supaya Kementerian mengkaji semula, menambah baik serta mencetak semula buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru serta buku panduan lain berkaitan.
Ini kerana pihaknya mendapati buku tersebut sudah lama tidak disemak dan ada peraturan yang digariskan sudah tidak relevan dengan keadaan hari ini.
"Salinan yang kami ada pun cetakan tahun 1988. Tidak tahu jika semua sekolah masih ada lagi sekurang-kurangnya satu salinan sebab kadang-kadang sekolah dilanda musibah seperti banjir dan sebagainya. Di pasaran juga sudah tiada stok.
"Kita harap ia dapat dicetak semula dan dijual secara meluas supaya bukan sahaja untuk di sekolah, tetapi ibu bapa juga boleh memilikinya sebagai panduan," ujarnya.
NGO yang turut sama dalam perbincangan itu adalah Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF), UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), Pertubuhan Laywers' Friends for Life (LFF), Sarawak Teachers Union, Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, NUTP juga mengalu-alukan cadangan daripada Sekolah Pendidikan Khas untuk pelajar kurang upaya (OKU) dari segi fahaman ibu bapa bagi anak-anak istimewa ini yang mencederakan diri sendiri.
Sumber NUTP, NGO syor 23 kod etika ibu bapa, penjaga di institusi pendidikan