SELEPAS penyanyi Wani Kayrie, pelakon Sweet Qismina turut mengakui sedang berkawan dengan pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid.
Sweet, 20, ketika dihubungi mStar Online berkata, dia menyedari penyanyi lagu Jangan Jangan itu ada memuat naik foto bersama Safawi namun tidak melihat ia sebagai satu isu yang harus diperbesarkan.
Ini kerana hubungannya dengan Safawi juga sekadar teman biasa dan pemain bola sepak itu mempunyai hak untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
“Saya tahu Wani ada memuat naik foto bersama Safawi pada hari yang sama dan rasanya tidak akan timbul masalah antara kami bertiga.
“Lainlah kalau hubungan saya dan Wani tidak baik, baru ada isu boleh dibangkitkan.
“Saya pun tak kisah tentang perkara itu kerana itu hak Safawi mahu berkawan dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Sweet turut memuat naik foto bersama Safawi di Instagram miliknya dan gambar tersebut mendapat perhatian pengikutnya.
Dalam pada itu, Sweet memberitahu dia sudah mengenali jejaka berusia 20 tahun itu ketika bertugas sebagai pengacara program Planet Bola pada tahun lalu.
Bagaimanapun kata Sweet, sepanjang perkenalan itu mereka tidak pernah berkongsi tentang hal peribadi dan hanya bercakap tentang kerjaya masing-masing.
“Saya dah kenal Safawi sejak jadi pengacara Planet Bola tapi masa itu kami tak pernah bertegur dan saya sekadar tahu dia pemain JDT tetapi baru-baru ini kami bertegur di Instagram.
“Kebetulan pula saya memang minat bola sepak, jadi bila berborak banyak cerita tentang kerjaya dan bola sahaja,” ujarnya.
Pada malam perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Indonesia pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (SEA2017) Sabtu lalu, Sweet turut berada di Stadium Shah Alam untuk memberi sokongan.
Sumber: Mstar
Sumber “Saya tahu Wani ada bergambar dengan Safawi Rasid pada hari yang sama” – Sweet Qismina