KOTA KINABALU – Sekali lagi kejadian gaduh antara pelajar sekolah dilaporkan berlaku di Sabah. Namun kali ini melibatkan sekumpulan pelajar lelaki pula.
Sebelum ini kejadian gaduh antara pelajar sekolah juga pernah berlaku melibatkan seramai 10 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak di Kota Kinabalu yang dikatakan bergaduh kerana berebut seorang lelaki.
Kini, Jabatan Pendidikan Sabah sedang giat menjalankan siasatan terhadap rakaman video pergaduhan yang membabitkan pelajar sekolah menengah yang didakwa berlaku dekat Kolombong dekat sini.
Rakaman video tersebut mula tersebar di laman Facebook sejak pagi semalam. Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul mengesahkan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan kes itu.
“Kita ada menerima laporan awal mengenai kejadian ini dan siasatan sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi oleh pihak Harian Metro.
Video yang berdurasi 1.51 minit itu merakamkan dua orang pelajar lelaki memakai baju sukan sekolah mula bergaduh tanpa diketahui puncanya. Selepas mereka mula bergaduh, datang pula beberapa lagi pelajar lain.
Mereka turut menyibuk dan memukul antara satu sama lain. Ada juga pelajar bersorak kegembiraan dan menyuruh mereka terus bergaduh. Kejadian yang berlaku dekat padang sekolah itu juga disaksikan ramai pelajar yang lain.
Mereka seolah-olah meraikan pergaduhan itu dengan aksinya turut dirakam oleh ramai lagi pelajar yang lain.
Sumber: MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah
Sumber Video: Lagi kejadian pelajar sekolah bergaduh di Sabah, kali ini pelajar lelaki pula