Dramatis ‘Makcik Petir’ Kritikal

Dramatis yang popular dengan sapaan ‘Makcik Petir’ atau Noryati Taib berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Anak saudaranya yang juga pengarah drama Shahrulezad Mohameddin berkata, Noryati, 60, dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru sejak pagi Isnin.

“Sebenarnya Mak Uda (Noryati) dimasukkan ke hospital sejak dua minggu lalu kerana penyakit diabetes dan dia sudah dibenarkan pulang sejak semalam (Ahad) dan keadaannya baik sahaja.

“Bagaimanapun apabila sampai ke rumah dia tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum bapa saudara saya membawanya kembali ke hospital dan saya dimaklumkan Mak Uda mengalami jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

 Menjelaskan keadaan lanjut mengenai Noryati, Shahrul memberitahu ibu saudaranya itu diletakkan dalam keadaan koma bagi membolehkan dia berehat.

Bagaimanapun keadaannya kritikal apabila dia dimasukkan ke  Unit Penjagaan Kritikal (CCU) pada pagi Isnin sebelum dipindahkan ke Unit Penjagaan Intensif  (ICU) di hospital sama.

“Apa saya diberitahu oleh sepupu saya keadaannya masih kritikal dan saya sedang menghabiskan satu babak drama arahan saya iaitu Monalisa sebelum bergegas pulang ke Johor untuk menziarahinya.

“Noryati sepatutnya berlakon dalam drama itu tetapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dan saya minta dia berehat.

“Saya mohon kepada semua peminat mendoakan agar kesihatan ibu saudara saya kembali pulih,” ujarnya.

Noryati memulakan karier lakonannya menerusi drama Sinderela arahan Shahrulezad sendiri pada 2008.

Selain Sinderella, Noryati juga pernah muncul dalam drama bersiri seperti Tari Tirana, Dottie, Syurga Mu Ramadan, Cik Kiah Koleh Kacang, Menantu Malam Raya dan Budak Ijat.



Sumber Dramatis ‘Makcik Petir’ Kritikal

Post a Comment

Previous Post Next Post