Gadis 19 tahun beranak depan rumah jiran dan buang bayinya di beranda

REMAJA 19 tahun ditahan polis selepas mengaku meninggalkan bayinya yang baru dilahirkan di Kampung Lubok, Semerah, Batu Pahat.

Remaja yang tidak lagi bersekolah dan bekerja sambilan itu mengaku melahirkan bayi perempuan pada kira-kira 12.30 tengah malam, Jumaat.

Dia mengaku bersalin di anjung kediaman yang terletak di seberang jalan dari rumahnya sebelum meninggal bayi itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kejadian terbongkar apabila tuan rumah warga emas pulang dari rumah anak mereka, di Taman Sri Sulong, pada kira-kira 7 pagi, Sabtu.

“Suami isteri itu terkejut melihat bayi terbaring dengan kesan darah di tepi anjung rumah mereka.

“Sebaik menerima aduan daripada pasangan berkenaan, 45 minit kemudian sepasukan polis dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan awal, kami menahan remaja perempuan 19 tahun yang tinggal hanya seberang jalan dari rumah pasangan itu, pada 9.30 pagi Sabtu.

“Remaja itu mengaku pergi ke rumah pasangan itu kerana sakit perut, sebelum melahirkan bayinya,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, remaja itu juga mengaku membuang tali pusat dan uri di rumahnya.

“Hasil siasatan awal mendapati bayi 3.1 kilogram itu adalah hasil hubungan remaja itu dengan teman lelakinya. Bayi itu dalam keadaan sihat dan stabil.

“Remaja terbabit dan bayinya itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Gadis 19 tahun beranak depan rumah jiran dan buang bayinya di beranda

Post a Comment

Previous Post Next Post