LONDON: Michy Batshuayi meledak hatrik buat Chelsea yang membelasah Nottingham Forest 5-1, dalam aksi pusingan tiga Piala Liga Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Dua pemain muda, Kenedy dan Charly Musonda turut mencetak nama sebagai penjaring dengan Tendayi Darikwa menjaringkan gol sagu hati buat pelawat, untuk membolehkan juara Inggeris itu mara ke pusingan berikutnya tanpa banyak masalah.
Seminggu selepas kemenangan besar 6-0 dalam kempen Liga Juara-Juara ke atas Qarabag, diikuti keputusan seri tanpa jaringan dengan Arsenal, Ahad lalu, jurulatih Antonio Conte sekali lagi melakukan perubahan besar bagi menghadapi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu ini.
Pengendali dari Itali itu melakukan sembilan perubahan, namun ia tidak menghalang kelab berpangkalan di London itu menguasai permainan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi Kenedy.
Berpunca daripada lorongan Eden Hazard yang kembali ke kesebelasan utama buat pertama kali musim ini, Batshuayi tidak mensia-siakannya apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-19.
Musonda kemudian menjadikan kedudukan 3-0, pada minit ke-40 selepas menerima hantaran bijak Cesc Fabregas yang menyaksikan penjaga gol Forest, Stephen Henderson tewas buat kali ketiga sebelum rehat.
Lapan minit selepas babak kedua bersambung, Batshuayi meledak gol kedua peribadinya, juga berpunca daripada gerakan Hazard dan Fabregas.
Dan penyerang kelahiran Belgium itu membuktikan ketajamannya apabila menyempurnakan hatrik pada minit ke-86, sebelum Darikwa menjaringkan gol buat Forest pada masa kecederaan. - AFP
Sumber Hatrik Batshuayi julang Chelsea