Istiadat penghormatan terakhir jenazah Sultan Kedah 11 pagi esok

Suasana dihadapan Istana Anak Bukit selepas berita kemangkatan Sultan Kedah Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah kira-kira jam 2.30 petang hari ini. — Foto BernamaSuasana dihadapan Istana Anak Bukit selepas berita kemangkatan Sultan Kedah Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah kira-kira jam 2.30 petang hari ini. — Foto BernamaALOR SETAR, 11 Sept — Rakyat jelata, yang berhasrat  memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Baginda Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, boleh berbuat demikian di Istana Anak Bukit di sini bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Menurut aturcara yang dikeluarkan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Diraja, orang ramai diminta berpakaian rasmi dan sopan ketika hadir di Balai Penghadapan istana bagi upacara tersebut.

Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Diraja itu akan dimulakan dengan bersiram, mengkafan jenazah serta menabur cendana pada 8 pagi.

Ini disusuli dengan solat jenazah dan penghormatan terakhir bagi orang awam dan kenamaan di Balai Penghadapan istana.

Sejurus sebelum pengiringan jenazah ke Makam Diraja Langgar untuk pemakaman, istiadat Pengisytiharan Keputusan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja dijangka berlangsung pada 1.30 petang.

Pemakaman dijangka bermula pada 4 petang disusuli dengan majlis tahlil serta doa selamat.—Bernama 



Sumber Istiadat penghormatan terakhir jenazah Sultan Kedah 11 pagi esok

Post a Comment

Previous Post Next Post