Iswan Ismail terharu sokongan peminat

KEMUNCULAN ramai pelakon dalam radar industri hiburan tanah air boleh dianggap sebagai satu perkembangan sihat kepada industri. Tidak hanya pelakon tempatan, namun kehadiran pelakon dari negara jiran untuk mencuba nasib sebagai pelakon di Malaysia turut memberi lebih ‘warna’ dalam arena seni lakon.

Justeru, sudah pasti usaha berpanjangan di kalangan pelakon baru, baik dari negara ini mahupun negara jiran menjadi resipi terbaik buat mereka terus kekal relevan dalam arus seni kontemporari. Perlu buktikan skil lakonan terbaik, demi memastikan mereka boleh menjadi pelapis buat pelakon senior sedia ada.

Itulah prinsip pelakon asal Singapura, Iswan Ismail atau nama lengkapnya, Muhammad Iswan Ismail, 29.

Terdahulu, Iswan sebelum ini cukup sinonim menerusi watak Luke, iaitu pembantu kepada Tengku Ian Uzzam lakonan Fattah Amin di dalam drama episod, Hero Seorang Cinderella yang bersiaran di Astro Ria beberapa bulan lalu.

Terkini, aktor yang dilahirkan pada 23 Mac 1988 ini baru selesai menjalani penggambaran untuk drama episod Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin di samping Idris Khan dan Raysha Rizrose. Iswan juga bakal tampil menerusi drama Muzium Misteri di TV3.

Melihat perjalanan seninya setakat ini, Iswan mengakui terharu dan gembira di atas penerimaan baik peminat di Malaysia khususnya. Ini kerana, bukan mudah pelakon baru sepertinya untuk mendapat penghargaan baik peminat di negara ini.

“Alhamdulillah, meski saya masih lagi boleh dikira baru, namun sambutan dan reaksi peminat memberi saya lebih semangat untuk lakukan yang terbaik. Ya, kalau boleh saya mahu pergi jauh dalam apa yang dilakukan sekarang. Bukan hanya bersifat sekerat jalan saja. Terima kasih buat semua yang menyokong kerjaya seni saya di sini,” ujar Iswan yang turut merakamkan rasa terima kasih buat karyawan seni yang percaya dengan bakat lakonannya.

Bagaimanapun, Iswan memberitahu, dia sebolehnya tidak mahu mendabik dada. Sebaliknya percaya, masih banyak yang perlu dipelajari demi memastikan kualiti lakonannya akan lebih lebih baik dari semasa ke semasa.

Terkini, Iswan akan sibuk di set penggambaran sebuah drama adaptasi novel berjudul Kerna Syurga Bukan Sempurna. Drama yang bakal disiarkan menerusi Astro Oasis itu turut menampilkan Fikry Ibrahim selaku pelakon utamanya.

Impak watak Luke

Mengharapkan yang terbaik menerusi drama tersebut, Iswan khabarnya akan mendukung watak sebagai budak nakal bernama Iskandar. Akui teruja dengan watak itu, Iswan turut gigih melakukan research sebagai persediaan.

“Saya bukanlah seorang yang nakal secara realitinya. Jadi untuk mendalami watak, saya adalah buat rujukan. Senang nanti bila sudah berada di set, kita tahu apa yang akan dilakukan. Kalau nak diikutkan daripada novel asal, watak Iskandar cukup menarik minat dan lain daripada watak yang pernah dibawakan sebelum ini.

“Harapnya ia dapat buka mata ramai apabila drama ini ditayangkan kelak, insya-ALLAH,” kata Iswan memasang harap sambil mengakui, watak Luke telah memberi impak besar di dalam kerjaya seninya.

Tidak boleh lari daripada watak tersebut, Iswan nyata positif dengan situasi tersebut. Pun begitu, dia semahunya tidak mahu terlalu bergantung kepada satu-satu watak sahaja. Menurut Iswan, sebagai pendatang baru, adalah lebih baik untuknya explore setiap watak berbeza bagi mengelakkan dirinya melakonkan peranan yang boleh dianggap klise.

“Sejujurnya, saya gembira kerana watak itulah yang menaikkan nama saya. Malah baru-baru ini, ketika ke Brunei, peminat di sana juga mengenali watak tersebut. Meski peranan Luke tidaklah sebesar mana, namun kesannya begitu besar.

“Tapi itulah, kalau boleh saya tidak mahu dikenali dengan satu watak saja,” luah Iswan yang mula bertapak dalam dunia glamor di Malaysia apabila menjuarai salah satu kategori untuk satu jenama fesyen lebih dua tahun lalu. Sejak itulah, dia menjadi perhatian pengarah lalu memintanya untuk hadir ke uji bakat sebagai pelakon.

Mengharapkan dirinya kekal konsisten dalam dunia seni, Iswan juga berharap agar kehadirannya dalam dunia hiburan Malaysia diterima baik ramai. Pada masa sama, dia turut bersyukur kerana kerjayanya sebagai perunding peribadi bagi sebuah jenama kesihatan di Singapura nyata tidak menghalang Iswan untuk terus fokus terhadap dunia lakonan.



Sumber Iswan Ismail terharu sokongan peminat

Post a Comment

Previous Post Next Post