KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali merayu kepada semua peminat permotoran tempatan hadir menyaksikan perlumbaan terakhir Formula 1 (F1) di Malaysia hujung minggu ini.
Katanya, penganjuran yang bertemakan F1nale kali ini menjadi peluang terakhir buat mereka yang belum pernah menyaksikan perlumbaan empat roda itu secara langsung di litar.
"Kali ini, kami jadikan Formula 1 sebagai tajuk utama. Fokus akan lebih menjurus kepada perlumbaan dan ini kali terakhir kita boleh beli tiket Formula 1.
"Kali ini tidak ada lagi tahun depan dan kalau nak tengok perlumbaan di Malaysia, sekaranglah kena beli tiket. Banyak aktiviti yang disediakan dan boleh dilakukan sebelum perlumbaan bermula.
"Datanglah buat kali terakhir. Tidak ada tiket percuma, kena beli. Tahun ini tolonglah menyumbang sedikit buat kali terakhir untuk raikan F1nale," katanya ketika dipetik menerusi program Malaysia Hari ini.
F1 Grand Prix (GP) Malaysia PETRONAS dijadual berlangsung pada Jumaat hingga Ahad ini.
Pada penganjuran kali ini, SIC mensasarkan untuk menjual 80 peratus daripada keseluruhan tiket diperuntukkan tahun ini.
Selain itu, difahamkan SIC meletakkan sasaran kehadiran seramai 102,863 penonton sepanjang perlumbaan berlangsung.
Sumber Jom datang ramai-ramai saksi F1 GP Malaysia